Rabu, 12 Mei 2010

Mempertahan dan Menginstitusikan Hak Adat Orang Asli

MERDEKA REVIEW



LLG Cultural Development Centre mendesak kerajaan pusat serta kerajaan Negeri Sarawak meminda undang-undang berkait dengan orang asli untuk menginstitusikan pelindungan Hak Adat Orang Asli (Native Customary Rights).

Isu tv2 membatalkan siaran dokumentari mengenai Empangan Bakun yang dihasilkan oleh penerbitnya bukan sahaja mengundang kritikan terhadap penyekatan kebebasan media dalam negara kita, bahkan juga mengajak kita semua memandang serius terhadap masalah-masalah yang dialami Orang Asli di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Projek mega Empangan Bakun telah mengakibatkan hampir 10 ribu orang penduduk Orang Asli di kawasan Belaga ditempatkan semula.

Orang-orang Asli tersebut hilang tanah yang subur dan sumber alam semulajadi; tanah pertanian yang diperuntukkan oleh kerajaan bukan sahaja tidak mencukupi malah tidak sesuai untuk penanaman; sekolah yang tidak mencukupi, jauh jaraknya dan diskriminasi dalam sekolah turut mengabaikan hak anak-anak Orang Asli untuk mendapatkan pendidikan. Justeru itu, mereka yang tiada kemahiran lain terus terperangkap di dalam kemiskinan, kalau bukan terpaksa berubah cara kehidupan tradisional mereka sama sekali.

Kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh Orang Asal/Asli tidak terbilang banyaknya. Gadis Penan dirogol oleh pekerja balak kerana beliau ingin menumpang kenderaan ke sekolah; blockade-blockade terpaksa didirikan oleh Orang Penan demi mempertahankan tanah adat mereka; lebih seribu Orang Asli di Semenanjung menganjurkan protes di Putrajaya, mereka membantah pelaksanaan polisi baru ke atas pembahagian tanah serta percubaan kerajaan untuk meminda "Akta Orang Asli tahun 1954"; Jabatan Hal-ehwal Orang Asli dan Hospital Gombak didakwa cuba mempengaruhi Orang Asli memeluk Agama Islam; Doktor Selva Vathanyi di Hospital Gombak mendakwa bahawa pihak hospital tidak melaksanakan rancangan peruntukan makanan yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan kepada Orang Asli.

Isu-isu Orang Asli di Belaga dan lain-lain tempat menunjukkan bahawa kerajaan bukan sahaja tidak menunaikan tanggungjawabnya dalam melindungi hak Orang Asli, tetapi juga tidak menepati seksyen-sekysen mengenai larangan penempatan semula, gantirugi dan seterusnya, yang tercatat di dalam "Dekralasi Hak Orang Asli" Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurut undang-undang kini, kerajaan tidak perlu mendapatkan persetujuan daripada Orang Asli apabila membuat sebarang keputusan yang boleh mempengaruhi Tanah Adat Orang Asli. Kebanyakan NGO yang prihatin terhadap isu Orang Asli berpendapat bahawa kewujudan Jabatan Hal-ehwal Orang Asli merupakan punca masalah, pegawai-pegawai jabatan tersebut kurang prihatin terhadap keinginan Orang Asli dan pendapat mereka.

LLG Cultural Development Centre Berhad mendesak kerajaan supaya meminda "Akta Orang Asli tahun 1954" dan undang-undang Orang Asli di Malaysia Timur secara keseluruhan dengan mengakui serta melaksanakan hak autonomi yang dijelaskan dalam "Dekralasi Hak Orang Asli" PBB. Semangat demokrasi komuniti seharusnya diterapkan dalam undang-undang, sebarang keputusan yang melibatkan Orang Asli harus dibuat atas pengetahuan dan persetujuan mereka.

Operasi Jabatan Hal-ehwal Orang Asli bukan sahaja harus disertai oleh Orang Asli sendiri, malah jawatan Ketua Pengarah dan Pengarah Cawangan bagi jabatan tersebut sepatutnya dijawat oleh Orang Asli.

Semangat "Hidup Berbilang, Makmur Bersama" merupakan semangat Mendiang Lim Lian Geok, LLG Cultural Development Centre mempertahankan hak bahasa dan budaya semua kaum di Malaysia. Semua warga negara ini mempunyai tanggungjawab bersama dalam mempertahankan hak adat Orang Asli. Dengan ini kami menyeru supaya seluruh masyarakat memandang serius terhadap masalah-masalah Orang Asli dalam negara kita.

*Kenyataan media oleh Toh Kin Woon selaku Presiden LLG Cultural Development Centre.

Tiada ulasan: