Isnin, 24 Mei 2010

Memorandum kepada SUHAKAM: Gugurkan kes AUKU 4 Siswa UKM

MERDEKA REVIEW



PENDAHULUAN

Empat orang mahasiswa jurusan Sains Politik yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM; Hilman Idham (Presiden), Ismail Aminuddin (Naib Presiden), Azlin Shafina Adzha (Setiausaha Agung) dan Woon King Chai (Exco) telah ditahan oleh pihak polis pada 22 April 2010, di Pekan Rasa dan Ampang Pecah semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Perlimen Hulu Selangor.

Turut ditahan bersama mereka adalah tiga orang aktivis parti yang turut menaiki kenderaan yang sama (sebuah kereta dan van). Dalam penahanan itu, polis telah merampas beberapa bungkusan risalah kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga CD kempen. Kemudian pada 23 April 2010, sekitar jam 10 malam, Hilman Idham telah ditahan sekali lagi oleh pihak polis dalam sekatan jalan raya. Bersama-sama beliau adalah empat orang aktivis yang lain. Dalam penahanan ini, polis hanya menjumpai sekeping VCD ceramah parti politik.

Atas kejadian ini, keempat-empat mahasiswa ini akan di dakwa di Mahkamah Universiti UKM atas pertuduhan melakukan kesalahan menyalahi undang-undang seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 yang berbunyi :

15 (5) Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap-

a. Mana-mana parti politik sama ada di ada di dalam atau di luar Malaysia.

Walau bagaimanapun, keempat-empat mereka akan didakwa pada tarikh yang berbeza. Hilman Idham akan didakwa pada 2 Jun 2010 manakala yang lain akan didakwa pada 3 Jun 2010, pada jam 9 pagi di Bilik Mesyuarat Canselori, Aras 6, Bangunan Canselori UKM.

KEBEBASAN BERSUARA MAHASISWA

Tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap empat orang mahasiswa ini jelas mencabuli hak mahasiswa. Selain itu, tindakan tersebut juga tidak mencerminkan kebebasan akademik oleh universiti. Universiti sepatutnya mempunyai tanggungjawab dalam menyediakan keadaan konduksif yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam lapangan bidang yang mahasiswa pilih di universiti.

Universiti juga perlu menggalakkan mahasiswa-mahasiswa menglibatkan diri secara aktif lapangan yang merangsang pemikiran mahasiswa. Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak seharusnya mengehadkan sebarang aktivism mahasiswa atas alasan berunsurkan politik. Sebaliknya, pihak universiti perlu menggalakkan mahasiswa berkomunikasi dan berinteraksi dengan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik dan ideologi dan ini merupakan entiti mahasiswa selaku 3 force dalam masyarakat. Dengan menghadkan penglibatan mahasiswa dan mengenakan tindakan AUKU sebegini, jelas memberikan kesan yang buruk terhadap kredibiliti universiti.

KEBEBASAN AKADEMIK DISEKAT

Kita juga kesal dan hampa dengan peraturan universiti yang menyekat hak dan kebebasan akademik pelajar dalam mengorientasikan pembelajaran yang berlaku di dalam bilik kuliah. Ini jelas ditunjukkan oleh HEP UKM yang mendakwa pelajar ini sedangkan pelajar yang dituduh adalah Mahasiswa Jurusan Sains Politik, UKM.

SMM merasa kecewa kerana mahasiswa yang mengambil jurusan Sains Politik sendiri tidak dibenarkan dan hadir untuk menyaksikan pilihan raya untuk pengaplikasian dan memperkukuhkan pemahaman di dalam kos yang mereka ambil dan ini jelas bertentangan dengan hak dan kebebasan akademik mahasiswa itu sendiri.

Jika mahasiswa disekat dengan sebegini rupa, bagaimana daya keintelektualan dan pengembangan akademik dapat diterapkan dan sekaligus memacu pemahaman yang berkesan di dalam sesuatu bidang yang diambil oleh mahasiswa. Tambahan pula, tindakan ini juga telah mencacatkan penjenamaan UKM sebagai universiti penyelidikan.

SMM DESAK GUGUR PERTUDUHAN

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan front-front mahasiswa yang lain dengan lantang mendesak agar pihak Hal Ehwal Pelajar UKM menarik balik segala pertuduhan yang dikenakan ke atas pelajar yang berkenaan kerana telah menyimpang daripada norma-norma kebebasan akademik dan hak dan kebebasan untuk bergerak selaku warganegara di Malaysia ini.

Seluruh mahasiswa mengutuk tindakan HEP UKM yang dengan sengaja dan tidak bertanggungjawab cuba untuk menakut-nakutkan mahasiswa dengan peraturan dan tindakan yang jauh menyimpang dengan nilai intelektual yang seharusnya diterapkan oleh pentadbiran universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

TUNTUTAN MAHASISWA

Justeru itu, mahasisswa berpendirian bahawa beberapa tuntutan dan perubahan harus dilaksanakan dengan kadar segera, iaitu;

1. Membatalkan semua tuduhan dan tindakan tatatertib terhadap empat orang mahasiswa serta-merta dan tanpa sebarang syarat.

2.Menghormati autonomi mahasiswa dalam dalam keterlibatan mahasiswa di lapangan masyarakat serta menghentikan segala intimidasi terhadap mahasiswa-mahasiswa.

3.Mematuhi dan menghormati kebebasan bersuara mahasiswa seperti yang terdapat dalam Artikel-19 Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia dan Artikel-10 Perlembagaan Malaysia.

4. Memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk terlibat dan bersuara di dalam apa jua aktiviti yang membina karisma dan idealisme tanpa dikongkong dan disekat atau diancam dengan ugutan oleh mana-mana pihak mahupun Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Justeru, Mahasiswa pada hari ini menggesa agar memorandum ini dapat diambil perhatian dengan sewajarnya oleh pihak SUHAKAM untuk diketengahkan dan dibincangkan dari sudut undang-undang dan hak asasi manusia dan tidak ditolak mentah-mentah.

Mahasiswa perlu diiktiraf sebagai generasi pelapis kepimpinan negara yang bakal menerajui kemajuan dan ketamadunan Malaysia pada masa akan datang. Hak dan kebebasan mahasiswa seharusnya tidak wajar disekat dan diikat. Justeru, tidak seharusnya kebobrokan dalam kampus terus dibiar berleluasa yang mana ianya melambangkan pentadbiran yang tidak profesionalisme dan korup. Usaha yang gigih tanpa disulami kepentingan politik perlu digarap oleh setiap segmen masyarakat demi melahirkan mahasiswa yang berjiwa pemimpin yang bakal mencorakkan kegemilangan negara.

Mahasiswa menaruh harapan yang besar kepada pihak SUHAKAM bagi membawa tuntutan dan pendirian ini kepada pihak kerajaan. Kerjasama dan perhatian segera dalam perkara ini sangatlah kami hargai.

PENUTUP

Di peringkat mahasiswa, kita akan melancarkan segala bentuk strategi dan cuba untuk meraih sokongan dari dalam dan luar negara Malaysia berkenaan dengan tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar UKM. SMM secara konsisten akan terus membantu dan menyokong penuh perjuangan membela empat orang mahasiswa ini. SMM juga akan melakukan mobilasi untuk menghimpunkan mahasiswa sepanjang tempoh perbicaraan kes ini berlangsung.

Kita yakin bahawa teman-teman kita yang akan didakwa ini telah bersedia untuk berhadapan dengan kes ini. SMM juga dengan ini menyeru seluruh pergerakan mahasiswa dan anak muda termasuk seluruh Persatuan Mahasiswa dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti di Malaysia untuk bangkit menyatakan pendirian masing-masing berhubung kes pendakwaan ini.

*Disediakan oleh SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM).

Tiada ulasan: