SHAH ALAM — Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam esok berhubung dakwaannya tentang kegiatan rasuah melibatkan syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Setiausaha politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam satu kenyataan berkata mesyuarat itu membolehkan Manikavasagam secara formal menyampaikan kepada Khalid dakwaannya mengenai penyelewengan di kalangan pegawai kanan KSSB dan seterusnya merangka tindakan bagi menentukan syarikat itu bebas dari amalan rasuah.
KSSB, syarikat yang terlibat dalam industri pasir dan mineral adalah milik penuh Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Kerajaan negeri memandang serius dakwaan Manikavasagam itu dan akan mempertimbangkan segala cadangannya bagi menangani hal itu,” kata Nik Nazmi, dan menambah hasil pertemuan akan diumumkan selepas mesyuarat exco negeri esok.
Manikavasagam sebelum ini mencadangkan agar kerajaan negeri membentuk sebuah badan bebas bagi menyiasat dakwaannya.
Semalam, dua pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang ke pejabat Manikavasagam bagi mengambil kenyataan beliau mengenai kegiatan rasuah itu.
Manikavasagam bagaimanapun tidak menyerahkan sebarang dokumen kepada pegawai itu, atas alasan beliau tidak yakin SPRM mampu menjalankan siasatan dengan berkesan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan