PULAU PINANG— Ketua pembangkang Datuk Azhar Ibrahim akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang kerana didakwa melanggar peraturan dewan apabila menyebut perkataan yang disifatkan sebagai berunsur hasutan.
Usul untuk merujukkan Azhar (BN-Penaga) ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datok Kramat) dan disokong oleh lebih 10 anggota penyokong kerajaan.
Jagdeep semasa mengemukakan usul itu berkata ketua pembangkang itu melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan yang berunsur hasutan dan memberontak serta bermusuhan antara kaum.
Speaker DUN Datuk Abdul Halim Hussain yang meluluskan usul itu berkata, notis usul mengenai tindakan itu akan dihantar kepada Azhar.
Sementara itu, Azhar ketika ditemui pemberita berkata beliau bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak khuatir terhadap sebarang tindakan yang bakal dikenakan.
“Saya bercakap seperti itu setelah Umno dan BN dihina dan dituduh sebagai rasuah, samseng dan sebagainya dan saya sanggup berhadapan dengan sesiapa pun walaupun dibawa ke mahkamah,” katanya.
Terdahulu, persidangan DUN yang masuk hari keempat hari ini panas apabila berlaku pertikaman lidah kira-kira 30 minit antara Ketua Menteri Lim Guan Eng dengan Azhar ketika Lim menggulung perbahasan usul terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.
Pertikaman lidah itu tercetus apabila Azhar berkata kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu sebenarnya tidak mengiktiraf tugas polis menjaga keamanan negara dan disebabkan itu beliau cadangkan agar negara dikawal oleh pasukan tentera pula.
Lim (DAP-Air Putih) menjawab, DAP bukannya tidak menghormati jasa polis tetapi mereka tidak mengiktiraf Tan Sri Musa Hassan yang disifatkan sebagai tidak layak menjadi Ketua Polis Negara.
“Tidak ada salahnya kita mengkritik Musa Hassan (Tan Sri) kerana bagi kita dia tidak layak menjadi Ketua Polis Negara, ditambah lagi insiden terbaru melibatkan kematian Aminulrasyid (Amzah)”, katanya.
Azhar kemudian mengulangi lagi kenyataannya meminta agar pasukan tentera mengawal negara bagi menggantikan polis dan kenyataan itu menyebabkan beberapa penyokong kerajaan meminta Azhar menarik balik pandangannya kerana ia bersifat menghasut.
Ketua pembangkang itu kemudian menarik balik kenyataannya itu selepas akur dengan arahan Speaker supaya berbuat demikian.
Lim dalam penggulungannya berkata kerajaan negeri menawarkan tender kepada syarikat Taiyo (KL) Resorts Sdn Bhd untuk menguruskan Kelab Golf Bukit Jambul adalah disebabkan syarikat itu bersetuju memberikan tawaran harga yang tinggi.
“Walaupun syarikat itu adalah syarikat pelaburan asing, namun kita telah ditawarkan harga yang terbaik dan menguntungkan kerajaan negeri,” katanya menjawab soalan Azhar mengenai kenapa tender itu tidak ditawarkan kepada syarikat tempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan