Selasa, 11 Mei 2010

Keluarga Aminulrasyid tuntut polis mohon maaf



Ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohamad bersama Kamarudin Hassan pada sidang media di Shah Alam hari ini. - Gambar oleh Choo Choy May
SHAH ALAM — Keluarga Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati ditembak lebih dua minggu yang lalu, hari ini menuntut pihak berkuasa khususnya polis agar memohon maaf berhubung insiden menimpa pelajar berkenaan.

Tuntutan itu dibuat sehari selepas seorang koperal polis didakwa di mahkamah di sini semalam berhubung insiden itu.

Bapa saudara Aminulrasyid, Kamarudin Hassan berkata keluarga itu mahukan permohonan maaf secara langsung daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar atau Kementerian Dalam Negeri yang telah mencemari nama pelajar berkenaan.

Malah tegas Kamarudin, keluarganya juga mahu pihak polis menarik balik kenyataan bahawa adanya parang dalam kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid pada hari kejadian.

“Kami menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa kerana bertindak cepat untuk mendakwa seorang anggota polis tetapi kami mahu nama Aminul dibersihkan.

“Sejak kejadian ini, Ketua Polis Negara dan tiada mana-mana pihak yang memohon maaf kepada kami atas kenyataan mereka memanggil Aminul seorang penjenayah dan mengatakan adanya senjata dalam kereta (dipandu Aminul),” kata beliau pada sidang media di rumah mereka di sini hari ini.

Semalam Koperal Jenain Subi, 48, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian, selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan Hakim M. Gunalan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 26 April antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11.

Jika bersabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 30tahun dan boleh dikenakan denda.

Dalam kenyataan dikeluarkan berasingan semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata keputusan untuk mendakwa anggota polis itu dibuat selepas beliau menimbangkan keterangan yang dikumpulkan dalam penyiasatan yang dilakukan secara adil dan menyeluruh.

“Saya juga telah mengarahkan pegawai saya mengkaji kecuaian anggota lain pasukan itu dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mereka jika keterangan menunjukkan berlaku kecuaian,” kata Gani dalam kenyataan.

Tiada ulasan: