Khamis, 27 Mei 2010

Jangan Terlalu Ghairah Pertumbuhan 10.1 peratus KDNK - Azan Ismail

Oleh Rusnizam Mahat


Kerajaan tidak harus terus ghairah dengan pencapaian ekonomi yang dicatatkan bagi suku pertama tahun ini kerana ia bukan memberi gambaran sebenar pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail, beliau yakin pencapaian itu hanya didorong oleh suntikan fiskal melalui pakej ransangan yang dikemukakan kerajaan tahun lalu, sedangkan nilai eksport negara menjunam teruk.

Beliau berkata, dalam Bengkel Serantau untuk Ahli Parlimen Asean WTO, yang dihadirinya di Singapura baru-baru ini, mendedahkan nilai eksport yang dicatatkan negara sangat rendah berbanding import yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam dagangan.

“Kalau mengikut laporan WTO yang saya perolehi, menunjukkan nilai eksport negara hampir negatif. Dari tahun 2008 hingga 2009, nilai eksport mencatatkan negatif 3 kepada negatif 29 yang menunjukkan kedudukan eksport Malaysia jatuh.Ini menunjukkan negara kita sekarang mempunyai masalah dalam imbangan perdagangan dan ketinggalan dengan negara-negara Asean yang lain seperti Singapura, Indonesia, Filipina dan Brunei,” ujarnya kepada Suara Keadilan minggu lalu.

Menurut Azan lagi, pertumbuhan itu juga juga tidak didorong oleh peranan pihak swasta yang mempunyai peranan besar dalam memacu ekonomi.

“Pertumbuhan ini bukan satu perkara yang dimegahkan kerana ia hanya merujuk kepada suku pertama, selain dibantu suntikan dana melalui pakej ransangan tambahan. Ia bukanlah satu pertumbuhan yang bersifat mapan yang berterusan.

“Salah satu sebab lagi kerana negara masih gagal menarik pelaburan Langsung Asing (FDI) dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang sangat tinggi,” katanya.

“Kenapa diberi gambaran ini, supaya rakyat merasa lega sedangkan nilai eksport kita jatuh begitu teruk, imbangan dagangan kita negatif. Manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai kaitan dengan kerajaan pula mengalami kerugian,” katanya.

“Apa yang berlaku di Malaysia begitu banyak pembaziran dalam pengurusan kewangan negara seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara sendiri dalam laporan audit tahun lalu, sebanyak 20 peratus dibazirkan dalam bajet negara,”katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad pula berpendapat, faktor pertumbuhan itu antara lain disebabkan permintaan global yang meningkat kebelakangan ini.

“KDNK dalam suku pertama tahun 2010 diukur berdasarkan prestasi rendah pada tahun lalu kerana itu ia dilihat melonjak. Kadar 10.1 peratus itu bunyinya hebat tetapi dari sudut teknikal, ia diukur dengan paras suku rendah yang mengalami kemerosotan.

“Pertumbuhan ini terjadi kerana kadar eksport melebihi import, bukan kerana keajaiban ekonomi tetapi kerana permintaan global yang meningkat.

Satu angka pertumbuhan dalam suku pertama tidak boleh dikatakan penyelesaikan dalam MEB. Pertumbuhan ini sedikitpun tidak menunjukkan keajaiban ekonomi yang dilakukan Najib,” ujarnya.

“Jangan terlalu euforia (ke-riangan yang berlebihan) dengan menyatakan ekonomi telah keluar daripada kemelesetan. Jangan terlalu ghairah menyatakan ekonomi telah stabil dan membuat rumusan ekonomi dalam keadaan sihat,” ujarnya.

Dr Dzulkifli berkata, persoalan asas seperti masalah fundamental dan struktural ekonomi perlu diga-rap dan ditangani dengan berkesan oleh kerajaan.
Menurut beliau, ekonomi masih berada pada kedudukan yang lemah, khususnya prestasi yang ditunjukkan oleh Syarikat Berkaitan kerajaan (GLC).

“Kita lihat baru-baru ini syarikat GLC mengalami kerugian seperti Pos Malaysia Berhad dan terbaru Sime Darby Berhad, disebabkan faktor pengurusan projek yang tidak dilaksanakan dengan baik menyebabkan kerugian berbilion ringgit,” ujarnya

Tiada ulasan: