Isnin, 17 Mei 2010

JANGAN CAMPURI URUSAN PEMILIHAN AJP BARU






Oleh: MAIL MATHEW


PENGERUSI Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Tenom, OKK David Jani, yang akan mengadakan pemilihan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang baru menasihatkan pihak tertentu khususnya bahagian pengurusan agar tidak mencampuri urusan pemilihan itu, kerana beliau khuatir jika mereka berbuat sedemikian, ia akan memporak perandakan jentera pentadbiran PPK di sini.

Sebaliknya kata beliau, tumpuan mereka harus dikhususkan kepada tugas dan tanggung jawab di bahagian pengurusan selaku penjawat awam dalam mempastikan kelancaran pentadbiran PPK di sini terus berjalan seperti biasa.

“Apa yang lebih penting adalah kerjasama yang rapat dalam melaksanakan misi dan visi PPK di sini ke arah yang lebih progresif dan cemerlang untuk membangun ekonomi, kebajikan sosial kepada unit peladang di peringkat kawasan akar umbi,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan para peladang unit Entabuan di Mini Dewan Serbaguna, Kg Makakumpai kira-kira 5 kilometer dari pekan di sini, yang difahamkan bahawa terdapat campurtangan di pihak pengurusan dalam pemilihan AJP baru yang akan bermesyuarat tidak berapa lama lagi.

Tegasnya lagi, Ahli Jemaah Pengarah (AJP) yang dipilih oleh para perwakilan adalah mempunyai bidangkuasa dalam menentukan dasar peladang sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan peladang.

“Kita senantiasa mengikuti keputusan yang dibuat oleh AJP dan begitu juga dengan misi dasar peladang dan juga lain perkara yang memberi kebaikan kepada kemajuan peladang di sini,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, OKK David turut meminta pihak Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah agar memantau masalah campurtangan penjawat awam dalam urusan pembuat dasar PPK di sini dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya.

Adalah kerana tegas David lagi, kelibat pihak terbabit bukan rahsia lagi malah seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi dalam ertikata lain bertindak di luar batas dan menidakkan kuasa yang ada pada kumpulan peringkat dasar yang dipilih perwakilan peladang.

Sementara itu, OKK David turut mengingatkan unit peladang di peringkat akar umbi agar menyiapkan mesyuarat mereka sebelum akhir bulan Julai 2010 untuk menghadapi mesyuarat pemilihan AJP yang baru.

Tiada ulasan: