| Puteri Aida Haryani & Zulaikha Zulkifl | |||
| |
Satu surat bantahan diserahkan oleh NGO tersebut hari ini kepada Datuk Seri Shafie Apdal, menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).
Jurucakap JKOASM Tijah Yok Chopil berkata, bantahan hari ini dikemukakan kerana jabatan tersebut didakwa tidak mengendahkan pandangan daripada masyarakat Orang Asli berhubung dasar berkenaan.
Katanya, pandangan tersebut terkandung dalam satu memorandum yang dikemukakan pada 17 Mac sebelum ini.
Seramai 2,000 orang daripada pelbagai suku kaum Orang Asli berhimpun di Putrajaya pada hari itu untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Memorandum tersebut antara lain menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendaklah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.
Bercakap dalam satu sidang media di Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) hari ini, Tijah berkata semua cadangan dan sebab bantahan yang diserahkan sebelum ini tidak diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan.
"Kerajaan tidak bincang dengan Orang Asli tetapi hanya apa yang dibuat oleh mereka adalah berkempen supaya Orang Asli menerimanya.
"Kerajaan hanya menumpukan pelaksanaan dasar ini tetapi tidak ambil fokus untuk menjelaskan dan mendengar pandangan Orang Asli dari pelbagai peringkat," katanya.
Tambahnya, 'kempen' itu dijalankan melalui satu bengkel anjuran JHEOA yang diadakan di Institut Kemajuan Desa, di Kajang pada 6 April lalu.
Bengkel tersebut turut dihadiri anggota Persatuan Orang Asli Malaysia (POASM) dan juga Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA).
Turut membentangkan kertas kerja dalam bengkel yang diketuai oleh setiausaha kementerian Datuk Abd Jabar Che Nai itu ialah menterinya, Shafie Apdal.
JKOASM telah membuat dua pertemuan bagi membincangkan hasil bengkel tersebut pada 9 Mei dan 16 Mei lalu, kata Tijah.
Rumusan daripada bengkel tersebut juga telah dihantar oleh JHEOA kepada JKOASM, namun ianya tidak dipersetujui oleh NGO berkenaan.
Dalam surat yang dihantar kepada Shafie hari ini, JKOASM memutuskan bahawa rumusan bengkel tersebut tidak dipersetujui kerana masih di peringkat perbincangan.
Surat yang ditandatangani oleh 12 orang pemimpin persatuan tersebut juga menyebut, cadangan pindaan ke atas Akta 134 tidak boleh dibentangkan di parlimen sebelum ianya dibincangkan dan dipersetujui oleh Orang Asli
"Kami ingin menegaskan bahawa kehadiran wakil JKOASM di bengkel tersebut sekadar perbincangan sahaja dan tidak ada apa-apa persetujuan dicapai pada hari tersebut," menurut surat itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan