Jumaat, 21 Mei 2010

Hakim Mahkamah Rayuan tarik diri

FREE MALAYSIA TODAY

Datuk Seri Anwar Ibrahim PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Md Apandi Ali hari ini menarik diri daripada mendengar rayuan kes tuduhan liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Md Apandi merupakan salah seorang daripada tiga panel hakim rayuan dalam kes Anwar selain Sulong Matjeraie dan Ramly Ali.

Keputusan beliau berikutan permohonan peguam Karpal Singh yang membuat bantahan kerana Md Apandi merupakan bekas Bendahari Umno Kelantan dan bekas Penasihat Undang-Undang Umno Kelantan.

Karpal dalam hujahnya berkata permohonan itu dilakukan bagi mengelakkan wujudnya sebarang persepsi berat sebelah kerana membabitkan pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Md Apandi berkata tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan barisan tiga panel hakim berkenaan.

Beliau kemudiannya meminta penangguhan seketika untuk mendapatkan nasihat lanjut dalam kamar hakim.

Kedua-dua pihak peguam juga berjumpa Presiden Hakim Mahkamah Rayuan Alauddin Md Sheriff.

Tarik diri secara sukarela

Selepas rehat seketika, hakim Sulong memberitahu mahkamah bahawa Md Apandi memutuskan untuk menarik diri secara sukarela, dan beliau digantikan dengan hakim Zaharah Ibrahim.

Panel hari ini akan mendengar permohonan rayuan Anwar untuk menangguhkan prosiding soal balas saksi utama Mohd Saiful Bukhari Azlan bagi memperoleh kenyataan yang direkodkan dalam laporan polis Saiful dibawah seksyen 112.

Ini kerana Saiful memberikan beberapa keterangan bercanggah dalam laporan polis dengan keterangannya di mahkamah, seperti yang didakwa barisan peguam bela.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Md Diah pada 12 Mei lalu menolak permohonan Anwar bagi mendapatkan kenyataan tersebut kerana tiada percanggahan dalam keterangan Saiful kepada polis dan keterangannya di mahkamah.

Zabidin juga berkata Peguam Negara juga mempunyai kuasa budi bicara untuk menetapkan pertuduhan terhadap seseorang dan tidak boleh dipertikaikan.

Anwar dituduh meliwat Saiful pada 26 Jun 2008 di 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara pada pukul antara 3.01 petang hingga 4.30 petang.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jka sabit kesalahan.

Tiada ulasan: