Rabu, 19 Mei 2010

Bekas CEO MIED terkejut SPRM mahu tahan pasport



Chitrakala (kiri) bersama Samy dalam gambar fail.
KUALA LUMPUR — Bekas ketua pegawai eksekutif wanita sayap pendidikan MIC, P. Chitirakala yang berhadapan dengan tuduhan menipu RM4 juta, terkejut dengan tindakan “secara tiba-tiba” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mahu menahan pasport antarabangsanya.

SPRM memfailkan permohonan untuk menahan pasport bekas orang kepercayaan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu itu, semalam.

Notis permohonan diserahkan kepada Chitirakala petang semalam manakala permohonan dijadual untuk pendengaran 25 Mei ini.

Ketika mengesahkan perkara itu kepada The Malaysian Insider, Chitirakala berkata, beliau terkejut dengan tindakan terbaru SPRM meskipun telah memaklumkan kepada agensi itu yang beliau akan kerap ke luar negara termasuk kunjungan yang dijadual petang ini.

“Saya sudah membeli tiket awal bulan lalu. Jadual penerbangan saya petang ini... saya harap tiada masalah memandangkan kes ini hanya didengar minggu depan,” katanya.

Chitirakala berkata, alasan yang diberikan oleh SPRM dalam permohonannya ialah ada menerima maklumat risikan mengatakan akan melarikan diri ke luar negara termasuk membeli tiket penerbangan.

“Saya telah pun memaklumkan kepada SPRM secara bertulis pada 10 Mei (sehari sebelum didakwa) mengenai perjalanan saya ke luar negara (hari ini).

“Malah, apabila perkara ini dibangkitkan di mahkamah, mahkamah tiada halangan apabila pendakwa raya tidak membantah... jadi saya terkejut dengan tindakan SPRM.

“Jadi, sekarang saya bingung dengan alasan SPRM bahawa mereka mendakwa ada menerima maklumat saya hendak melarikan diri ke luar negara,” kata beliau ketika dihubungi.

Chitirakala menjelaskan beliau ada memaklumkan SPRM akan ke India hari ini dan akan kembali ke tanah air pada 23 Mei.

“Apabila saya memaklumkan mereka minggu lalu, SPRM juga memberitahu saya bahawa selagi saya memaklumkan mereka seminggu sebelum saya ke luar negara, tiada masalah.

“Bagaimanapun bagi mengelakkan sebarang masalah kelak, saya memberikan mereka notis bertulis minggu lalu dan hari ini (semalam) saya menerima notis mahkamah ini.

“Mengapa saya diperlakukan macam ini? Saya tahu siapa di belakang tindakan ini,” kata Chitirakala sambil menambah, beliau bersemangat untuk menghadapi kes ini, dan tiada niat untuk meninggalkan negara sebagaimana didakwa itu.

Selasa lalu, Chitirakala, 39, didakwa dengan curangnya telah menipu Tan Sri M. Mahalingam, 74, pengarah syarikat dan juga sebagai penandatangan cek kepada Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) Sdn Bhd dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa bayaran sebanyak RM1 juta kepada syarikat Silver Line Services Sdn Bhd sebagai bayaran balik kepada pinjaman kepada Tan Sri Abdul Rashid Manaf, 64.

Perbuatan Chitirakala itu telah mendorong Mahalingam untuk menandatangani sekeping cek Bumiputera Commerce, yang mana bekas bendahari agung MIC tidak akan melakukannya jika tidak diperdayakan sedemikian.

Chitirakala yang berasal dari Shah Alam, didakwa melakukan kesalahan itu di MIED, Menara Manickavasagam, pada 9 Jan 2007.

Ibu kepada dua orang anak itu turut didakwa terhadap dua pertuduhan

sama, masing-masing melibatkan RM1 juta dan RM2 juta, di tempat yang sama, pada 30 Januari dan 3 Mei 2007 kepada orang yang sama.

MIED merupakan cabang pendidikan parti MIC.

Bagi kesemua kesalahan itu, Chitirakala didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Chitirakala diwakili oleh peguam Saseedharan Menon.

Kes itu akan disebut semula 14 Jun ini.

Tiada ulasan: