Isnin, 17 Mei 2010

BANDUAN LARIKAN DIRI DARI PENJARA DIBURU POLIS

KENINGAU KINI



ANAS.. melarikan diri dengan memanjat tembok penjara.


TAWAU: Seorang banduan warga Indonesia yang sedang menjalani hukuman di Penjara Tawau kerana kesalahan merogol seorang kanak-kanak, melarikan diri dari penjara berkenaan pagi kelmarin.

Berikutan itu, pihak polis dan Jabatan Penjara segera melakukan operasi memburu banduan itu, termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di daerah ini.

Banduan terbabit dikenali sebagai Anas Omar, 27, dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan pada awal tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, Anas dipercayai melarikan diri di antara jam 7 dan 10 pagi dengan cara memanjat pagar tembok penjara.

Perkara itu katanya, disedari pada kira-kira jam 10 pagi, ketika proses mengira jumlah banduan dijalankan.

Dalam pada itu, Imran memberitahu bahawa sehingga jam 3.30 petang kelmarin, pihaknya masih belum menerima aduan secara rasmi dari Jabatan Penjara berhubung kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik mendapat maklumat, pihaknya segera mengarahkan anggotanya dari pelbagai unit untuk melakukan operasi mencari dan memburu Anas.

“Kita akan terus memburu banduan terbabit sehingga dia ditemui,” katanya.

Dalam pada itu, Imran menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan kejadian terbabit dan memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak bersubahat menyembunyikan tahanan berkenaan.

Mereka yang berbuat demikian jelasnya boleh dikenakan tuduhan yang berat di mahkamah.

Imran berkata, mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Anas diminta supaya menghubungi 089-772121 (hotline).

Sementara itu, Pengarah Penjara Tawau Ajidin Salleh enggan ditemubual ketika dihubungi.

Tiada ulasan: