Rabu, 10 September 2008

Kes Anwar, campurtangan Gani Patail dipertikai
Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Pasukan peguam Dato' Seri Anwar Ibrahim membantah perintah yang ditandatangani Peguam Negara untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun perintah yang ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail dipertikaikan kerana Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberi jaminan, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Selain itu Abdul Gani dan Tan Sri Musa Hassan sedang menghadapi siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung membuat bukti palsu dalam kes-kes terhadap beliau 10 tahun yang lalu.

Pasukan Peguam Anwar turut mempertikaikan perintah tersebut yang didakwa ditandatangani oleh Abdul Gani bertarikh hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, SM Komathy Suppiah kemudiannya menangguhkan kes kepada 24 September depan.

Anwar dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut.

Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat di situ.

Para wartawan pula diminta mendaftarkan di tiga tempat sebelum dibenarkan masuk ke kamar mahkamah untuk mengikuti kes Anwar. - mks.

Tiada ulasan: