Ahad, 7 September 2008

Anak mahu balik raya
Oleh Ibrahim Isa


JOHOR BAHRU: “Buat pertama kalinya sejak anak saya bertugas sebagai anak kapal pada 2002, inilah kali pertama dia akan bercuti Aidilfitri awal bulan depan, tetapi kini dia mungkin masih tidak dapat menyambut raya bersama kami kerana kapal tangki Bunga Melati 5 tempatnya bekerja dirampas lanun di perairan Teluk Aden 29 Ogos lalu,” kata ibu kepada seorang anak kapal berkenaan, Fuziah Salleh, 50, semalam.

Menurutnya, anaknya, Rizal Shah Abdul Jabar, 30, dijadual sampai ke Pelabuhan Pasir Gudang pertengahan bulan ini dan mereka sudahpun merancang berbelanja persiapan Aidilfitri bersama anak kedua daripada empat beradik itu kerana sudah lama tidak dapat berbuat demikian.

“Oleh kerana dia akan bercuti Aidilfitri, kami sudahpun membuat beberapa rancangan antaranya berbelanja di beberapa lokasi di sekitar bandar raya bagi membeli persiapan baju raya.

“Berikutan itu, kami pada mulanya tidak sabar menyambut Ramadan tahun ini malangnya cuti Rizal yang ditunggu-tunggu kini bertukar kepada kes culik,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di sini, semalam.

Kapal Bunga Melati 5 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) Berhad itu dirampas sekumpulan lanun di perairan Teluk Aden, sempadan Somalia dan Yaman.

Menurut Fuziah, sejak enam tahun lalu, Rizal sentiasa bertugas pada Aidilfitri dan hanya tahun lalu, mereka dapat bertemunya di Pelabuhan Pasir Gudang pada Hari Raya ketiga, ketika kapal yang dinaiki Rizal singgah ke pelabuhan itu beberapa jam sebelum belayar ke kawasan sekitar Jepun.

Katanya, pada 24 Ogos lalu, sebelum kapal tangki Bunga Melati 5 yang dinaiki Rizal bertolak dari Pelabuhan Yanbu, Arab Saudi menuju ke Malaysia, dia ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapanya, Abdul Jabar Abdul Hadi, 59, bertanyakan mengenai kedudukan kapal tangki Bunga Melati 2 yang turut dirampas lanun di kawasan sama, 19 Ogos lalu.

Dalam perbualan menerusi SMS itu, mereka memberitahu perkara itu masih belum diselesaikan dan Rizal menjawab, kapten kapalnya turut risau untuk meneruskan perjalanan sebelum dinasihatkan pihak berkuasa negara berkenaan kapal tangki itu selamat meneruskan pelayaran, namun perlu menyusuri perairan Yaman dan bukannya Somalia.

“Pada 30 Ogos lalu, kami menerima panggilan telefon dari MISC yang memaklumkan mengenai perkara itu dan meminta kami terus ke ibu pejabat di Kuala Lumpur pada keesokkan harinya untuk taklimat.

“Ketika menjalani taklimat (31 Ogos), kami diberitahu usaha giat dilakukan MISC bagi membebaskan 80 anak kapal dua kapal tangki MISC yang ditahan lanun berkenaan di teluk terbabit,” katanya.

Sejak itu, Fuziah berkata, dia dan suami tidak lalu makan dan minum ketika berbuka puasa kerana sering teringatkan anaknya cukup makan atau tidak ketika berbuka puasa serta keselamatan anaknya itu.

Tiada ulasan: