Ahad, 7 September 2008

Puasa tak jejas penyusuan
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


SEMBILAN bulan mengandungkan zuriat pemberian Ilahi, kemudian melihatnya membesar di depan mata pastinya mewujudkan satu hubungan yang sukar untuk dijelaskan antara ibu dan anak.

Apatah lagi, jika zuriat berkenaan adalah cahaya penyeri rumah tangga yang selama ini diimpikan bagi pasangan selepas mendirikan rumah tangga.

Namun, bagi wanita yang mempunyai anak kecil, ketibaan Ramadan mungkin menyebabkan sebahagian mereka tertanya-tanya, sama ada mahu menyusukan sendiri atau memberi anak susu formula.

Ini kerana ada segelintir ibu yang bimbang dengan keadaan mereka berpuasa akan menjejaskan kualiti susu dikeluarkan, sekali gus menjejaskan kesihatan anak.

Tidak kurang pula ada yang menganggap tanpa makan dan minum yang cukup, kesihatan si ibu boleh terjejas jika menyusukan anak mereka.

Pakar Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata kesihatan wanita yang menyusukan anak pada bulan puasa tidak terjejas jika mereka menjaga pemakanan sebaik mungkin.

Menurut Dr Zulkifli, biarpun berpuasa, kandungan khasiat susu ibu tetap tidak mengalami perubahan besar dan dianggap masih berzat seperti sebelumnya.

Katanya, fitrah wanita dilahirkan untuk menyusukan sendiri anak mereka dan situasi berkenaan juga tidak terkecuali pada bulan Ramadan.

“Ibu bapa seharusnya tidak mempunyai perasaan curiga mengenai tahap kesihatan serta kandungan zat susu yang diberi kepada anak ketika bulan puasa kerana ia tidak menjejaskan kesihatan ibu dan anak.

“Selain itu, susu ibu adalah makanan terbaik untuk anak kerana ia mengandungi segala zat diperlukan.

“Untuk itu, wanita perlu menjaga pemakanan dan mengambil secukupnya makanan diperlukan badan ketika bersahur serta berbuka,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, wanita yang menyusukan anak ketika bulan puasa biasanya akan mengalami masalah kekurangan susu berbanding biasa.

Namun, katanya, masalah berkenaan jarang berlaku kepada semua wanita kecuali kepada mereka yang tidak mengamalkan pemakanan sihat.

“Masalah kekurangan susu boleh diatasi jika ibu mengambil makanan lebih protein serta memperbanyakkan makanan yang menggalakkan pengeluaran susu seperti pegaga dan lobak putih.

“Justeru, ketika berbuka, wanita yang menyusukan anak digalakkan mengambil lebih makanan yang mengandungi nutrien berkenaan bagi memastikan proses penyusuan tidak terganggu,” katanya.

Sementara itu, kajian kesihatan seluruh dunia membuktikan susu ibu adalah makanan paling sesuai untuk bayi kerana ia mampu memberi perlindungan daripada pelbagai penyakit.

Ia turut disokong dengan kadar kemasukan ke hospital, jangkitan telinga, cirit-birit, ruam, alahan dan pelbagai masalah perubatan lain di kalangan bayi jauh lebih rendah bagi mereka yang diberikan susu berbanding bayi yang minum susu formula.

Selain itu, hasil kajian Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, baru-baru ini mendapati bayi dan kanak-kanak yang kurang mendapat susu ibu boleh terdedah kepada pelbagai risiko jangkitan penyakit.

Timbalan Pengarahnya, Dr Omar Mihat, berkata sejak kebelakangan ini bilangan bayi dan kanak-kanak yang diserang penyakit seperti diabetes, obesiti, barah dan jangkitan pernafasan semakin meningkat.

“Kajian mendapati risiko mendapat penyakit berkenaan dapat dikurangkan sekiranya bayi disusukan dengan susu ibu, malah penyusuan susu ibu mampu melindungi bayi daripada serangan sindrom kematian bayi mengejut,” katanya.

Tiada ulasan: