Isnin, 2 Ogos 2021

Jual durian harga lelong RM1 sekilogram

TUMPAT: Sebanyak empat tan durian habis dijual dalam tempoh tidak sampai tiga jam di sebuah luar premis di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, di sini.

Perniagaan durian yang diusahakan oleh ibu tunggal, Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31, sejak April lalu mula dibanjiri pelanggan sejak minggu lalu apabila dia menjual raja buah itu pada harga lelong serendah RM1 sehingga RM2 sekilogram.

Tengku Nor Amira berkata, bekalan durian itu diperoleh dari Jeli yang dibelinya setiap hari dan dijual pada harga rendah bergantung kepada harga modal.

"Biasanya saya hanya akan mengambil harga untung sekitar 20 sen hingga RM1 sahaja untuk sekilogram durian yang dilelong itu, bergantung kepada harga yang dibeli daripada pembekal.

"Sebagai contoh, pada hari-hari tertentu pembekal menjual kepada saya pada harga 80 sen sekilogram, saya akan menjual pada harga RM1 sekilogram dan ada ketikanya RM1 (harga pembekal), saya akan jual RM1.30," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, hari ini.

Tengku Nor Amira (kanan) bersama abangnya, Tengku Mohd Farid menunjukkan durian yang dilelong pada harga RM1 sekilogram. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Tengku Nor Amira (kanan) bersama abangnya, Tengku Mohd 
Farid menunjukkan durian yang dilelong pada harga RM1 
sekilogram. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Empat tan durian habis dijual dalam tempoh tidak sampai tiga jam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Empat tan durian habis dijual dalam tempoh tidak sampai tiga
jam. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tengku Nor Amira berkata, walaupun durian berkenaan dijual pada harga murah, kualiti tetap dijaga dan hanya buah elok sahaja diletak bagi mengelakkan pembeli kecewa

Selain durian kampung, ibu kepada dua anak itu turut menjual durian jenis kunyit, cheni, IOI, kampung kahwin, D24 dan Udang Merah yang kesemuanya masih boleh diperoleh pada harga mampu milik.

Katanya, jika ingin mengadakan harga lelong dia akan mengumumkannya terlebih dahulu melalui laman Facebook dan keesokan harinya, belum sempat gerai dibuka pada jam 8 pagi, orang ramai sudah berbaris panjang.

"Namun, kami menitikberatkan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial dan ada juga kawalan dari pihak berkuasa bagi memastikan keadaan terkawal," katanya.

Tengku Nor Amira sebelum ini bekerja di sebuah kolam udang di Puncak Jalil, Selangor tetapi terpaksa berhenti disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum mengambil keputusan pulang ke kampung dan membuka perniagaan itu yang turut dibantu ahli keluarga.

Berbekalkan modal sebanyak RM2,700, dia memulakan perniagaan durian dan keuntungan diperolehi amat menggalakkan sehingga mencecah RM4,000 hingga RM5,000 sehari walaupun buah itu dijual pada harga sangat murah.

Bekalan durian diperoleh dari Jeli yang dibeli setiap hari dan dijual pada harga rendah bergantung kepada harga modal. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Bekalan durian diperoleh dari Jeli yang dibeli setiap hari dan 
dijual pada harga rendah bergantung kepada harga modal. - 
NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Orang ramai membeli durian yang dilelong pada harga RM1 sekilogram di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Orang ramai membeli durian yang dilelong pada harga RM1 
sekilogram di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor. 
- NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tiada ulasan: