Selasa, 13 Julai 2021

Tidak timbul isu formula pengiraan hapus hutang peneroka Felda

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
- GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Tidak timbul isu ketidakadilan tentang formula pengiraan penghapusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion. 

Kadar bayaran balik adalah berdasarkan kategori peneroka iaitu maksimum RM300 bagi peneroka yang tidak bersama Felda manakala kadar itu lebih rendah bagi peneroka yang bersama Felda iaitu hanya RM250 sebulan.

Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar itu menjadi asas kepada jumlah penghapusan yang layak diterima peneroka. 

Malah, peneroka bersama Felda juga mendapat kelebihan untuk kadar potongan baharu pada Ogos 2021 jika perjanjian ditandatangani dalam tempoh 14 hari. 

“Peneroka yang tidak bersama Felda pula diberikan tempoh pemerhatian enam bulan untuk konsisten dan berdisiplin menghantar hasil ke Felda sebelum kadar potongan baharu dikenakan kepada mereka. 

“Dalam tempoh ini mereka perlu kekal membayar ansuran bulanan dengan kadar biasa,” kata kenyataan itu hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, memetik Ketua Peneroka Felda Jengka 10, Jantan Mat Saman meminta Felda untuk mengemukakan formula pengiraan penghapusan hutang peneroka RM8.3 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Ini kerana di lapangan terdapat dua kelompok peneroka iaitu yang setia dengan Felda dan mempunyai penyata pendapatan serta membabitkan golongan peneroka yang mengambil alih sepenuhnya pengurusan ladang dan tiada penyata pendapatan.

Mengulas lanjut, kata Felda, beberapa siri penerangan secara maya telah dilaksanakan kepada pengurus rancangan dan ketua-ketua peneroka dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Felda. 

Ini bertujuan memberi pemahaman lebih tentang inisiatif pelaksanaannya dan sesei penerangan juga masih diteruskan selain warga peneroka disaran untuk merujuk kepada pejabat rancangan untuk melancarkan urusan kedua-dua pihak. 

“Felda menekankan objektif utama inisiatif pelarasan pinjaman peneroka yang dilaksanakan ini adalah bagi menerapkan kebersamaan Felda dan peneroka melalui satu sistem pengurusan ladang yang lestari. 

“Inisiatif yang dapat menarik peneroka kembali kepada Felda ini akan dapat memberi manfaat dari segi produktiviti ladang apabila pengurusan dilaksanakan secara bersepadu,” katanya.  – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: