Ahad, 11 Julai 2021

PKPD bersasar elak keadaan tertekan

 Oleh NUR HUDA MUSA

Noor Hisham

PETALING JAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar dilihat mampu membendung keadaan tertekan ketika negara dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tindakan bersasar mungkin boleh dijalankan di negeri-negeri berisiko tinggi sahaja supaya tempoh PKPD tidak berpanjangan.

“Kalau dilihat pelaksanaan PKP tahun lepas, amat ketat sekali tetapi tidak berpanjangan. Dari 18 Mac 2020 sehingga 14 april 2020, kita dapat lihat penurunan jangkitan.

“Mungkin PKPD boleh dijalankan lebih bersasar kepada negeri-negeri yang ada risiko yang tinggi. Sementara negeri yang kurang berisiko pula, kita jaga sempadan dan kawal dengan baik supaya kes tidak masuk di negeri tersebut,” katanya dalam satu wawancara hari ini.

Katanya, situasi negara kini agak tertekan berikutan usaha untuk mengimbangkan keadaan ekonomi serta kesihatan yang mengambil masa agak lama demi mencapai imbangan yang terbaik.

Bagaimanapun katanya, dengan pengawalan yang baik serta kadar vaksinasi yang semakin meningkat, pelaksanaan PKPD ketika ini akan menampakkan hasil dalam tempoh lebih kurang dua minggu lagi.

“Kes Covid-19 memang dijangkakan akan meningkat ketika ini susulan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur. Kes juga meningkat kerana pelaksanaan ujian saringan bersasar sedang dipergiat bagi mengesan jangkitan dalam komuniti.

“Justeru, saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk membantu Kementerian Kesihatan elak daripada dijangkiti. Sama-sama kita jadi pertahanan untuk negara kita dalam membendung Covid-19,” ujarnya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: