Rabu, 21 Julai 2021

Penerbit filem ‘Babi’ mengaku tidak bersalah

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

TOH Han Boon diiringi polis ketika dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan mengedar filem dan mempamerkan poster filem tanpa lesen sah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

PETALING JAYA: Seorang penerbit filem dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan terlibat di dalam penerbitan sebuah filem kontroversi bertajuk ‘Babi’ tanpa lesen daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), tahun lalu.

Tertuduh, Toh Han Boon, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa telah mengambil bahagian dalam aktiviti mengeluarkan filem bertajuk ‘Babi’ dan mempamerkan poster filem tersebut tanpa lesen yang sah daripada Finas.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah lokasi terletak di Mutiara Damansara, di sini pada pukul 6 petang, 18 November 2020.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 22(1) Akta Finas 1981 (Akta 224-Pindaan 2013) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah mengenakan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran.


Namun peguam tertuduh, Haijan Omar membantah dua syarat tersebut kerana ianya adalah tidak munasabah dan merayu jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini satu laporan polis dibuat Persatuan Seniman Malaysia berikutan penghasilan filem yang menggunakan judul ‘Babi’ dan didakwa terlibat dalam memalsukan dokumen permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Filem itu dipercayai ditayangkan di sebuah negara luar pada 20 November lalu berkisarkan kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia sekitar 2000. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: