Selasa, 13 Julai 2021

Dua maut, kenderaan bertembung di Jalan Tubau-Bakun

BINTULU: Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 114 Jalan Tubau-Bakun, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 10.15 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu kereta Suzuki Swift, lelaki berusia 26 tahun yang juga Jurutera NPL Sdn Bhd dan penumpang lelaki warganegara Indonesia, Nurdi, 32, pekerja am syarikat berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata, pemandu pikup Mitsubishi Triton lelaki berusia 34 tahun, hampir putus jari tengah, manakala penumpang lelaki berusia 48 tahun patah tangan kanan.

Katanya, dua lagi penumpang lelaki berusia 35 dan 55 tahun tidak cedera.

"Ketika kejadian, pemandu kereta Suzuki Swift yang datang dari arah Tubau hendak ke Sungai Asap, Belaga, dikatakan hilang kawalan akibat jalan licin lalu masuk ke laluan bertentangan.

"Ini menyebabkan pemandu kereta Mitsubishi Triton yang datang dari arah Kampung Batu 16 Belaga hendak ke Bintulu tidak sempat mengelak lalu bertembung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa yang maut dan cedera dihantar ke hospital Bintulu untuk tindakan lanjut dan rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Tiada ulasan: