Ahad, 27 Jun 2021

Rangka orang dalam rumah burung

 TUMPAT: Rangka manusia ditemui dalam sebuah bangunan yang dijadikan rumah burung layang-layang di Kampung Gelang Kechik hari ini.

Rangka dipercayai lelaki berusia sekitar 60-an itu ditemui pesawah jam 9.30 pagi tadi yang berasa curiga selepas terhidu bau busuk dari rumah burung itu, tidak jauh dari tempat dia mengerjakan sawahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli, berkata pesawah itu memasuki bangunan dan menjumpai rangka manusia dengan beberapa bahagian badan sudah tiada dipercayai dimakan haiwan.

"Rangka itu dipercayai pekerja yang menjaga bangunan terbabit yang tinggal di aras bawah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Razi berkata, berdasarkan kenyataan majikannya, mangsa berasal dari Johor dan tinggal berseorangan di bangunan itu.

Menurutnya, mangsa juga tidak mempunyai waris dan hidup merempat namun tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

"Hasil pemeriksaan tidak menemui kesan jenayah dan mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat," katanya.

Tiada ulasan: