Ahad, 27 Jun 2021

‘Puan Ikzan’ sekali lagi telan duit mangsa TAC

Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
HOO CHANG HOOK

JEMPOL: Seorang pengasuh kanak-kanak di Felda Lui Selatan dekat sini kerugian RM5,699 selepas terpedaya dan berkongsikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) perbankan internet kepada seorang individu dikenali sebagai ‘Puan Ikzan’ pada 25 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 40 tahun itu pada awalnya menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada ‘Puan Ikzan’ yang memaklumkan telah tersilap hantar nombor TAC ke nombor telefon milik mangsa.

“Mangsa pada mulanya tidak memberikan nombor TAC tersebut kerana berasa curiga.

“Selepas beberapa minit kemudian ‘Puan Ikzan’ menghubungi mangsa melalui WhatsApp dan meminta tolong mangsa memberitahu nombor TAC berkenaan. Mangsa terus membuka mesej dan memberitahu nombor TAC itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas itu, mangsa memaklumkan perkara itu kepada adiknya dan meminta adiknya itu menyemak beliau baki wang di dalam akaun bank miliknya.

“Semakan mendapati duit di dalam akaun telah berkurangan sebanyak RM5,699. Mangsa mengesyaki diri tertipu lalu membuat laporan polis,” katanya.

Pada 14 Jun lalu, media melaporkan seorang pemandu di sebuah jabatan kerajaan di Kota Bharu, Kelantan kerugian RM10,000 selepas ditipu seorang wanita dikenali sebagai ‘Puan Ikzan’ berkaitan penggunaan nombor TAC perbankan.

Berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 50-an telah menerima mesej WhatsApp daripada satu talian yang tidak dikenali dan memperkenalkan diri sebagai seorang wanita bernama ‘Puan Ikzan’ yang menyatakan telah tersalah hantar nombor TAC perbankan internet ke talian pengadu dan meminta mangsa menghantar semula kepadanya.

Sementara itu, dalam satu kejadian lain, seorang juruwang berusia 22 tahun yang berasal dari Felda Raja Alias 2 di sini menjadi mangsa sindiket penipuan selepas terpedaya bahawa dia telah memenangi hadiah sebanyak RM7,000 daripada Hotlink Maxis.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan bersama mesej tersebut. Selepas itu, mangsa telah menyerahkan data peribadi dan gambar kad bank kepada pihak berkenaan.

“Akibat daripada tindakan itu, mangsa telah kerugian RM1,000 selepas membuat semakan ke atas akaun bank miliknya,” katanya.

Chang Hook berkata, kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis di dua balai polis berasingan di daerah ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Tiada ulasan: