Sabtu, 26 Jun 2021

Mungkin ada suntikan dos ketiga vaksin Covid-19


Reaksi penerima vaksin ketika menerima suntikan di PPV Axiata Arena, Bukit Jalil. – Gambar Agenda Daily

Kerajaan sedang meneliti pelbagai data dalam merancang membeli lebih banyak vaksin Covid-19 susulan tindakan beberapa negara maju kini membuat pembelian tambahan bekalan pada tahun depan, rentetan jangkaan keperluan untuk suntikan ketiga.

Sehubungan itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sedang meneliti data tertentu berhubung perkara itu.

“Data itu perlu diteliti secara khusus kerana beberapa negara maju kini sedang buat pembelian tambahan bekalan vaksin Covid-19 pada tahun depan, kerana jangkaan keperluan untuk suntikan ketiga,” katanya.

Beliau berkata JKJAV akan mengkaji tempoh perlindungan menerusi pembentukan tindak balas sistem imunisasi badan individu selepas mereka melengkapi dua dos suntikan.

“Justeru, Malaysia menerusi JKJAV sedang mengkaji perkara ini supaya kita dapat buat keputusan, sama ada untuk mula buat rundingan perolehan vaksin pada tahun depan.

“Ini kerana penularan varian Delta dilaporkan di seluruh negara, termasuk menjadi punca peningkatan kes di United Kingdom menjangkau lebih 90 peratus,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer Albert Bourla berkata orang ramai ‘kemungkinan besar’ memerlukan dos ketiga vaksin Covid-19 dalam tempoh 12 bulan setelah memperoleh dos kedua.

Beberapa pihak sejak awal bulan ini, termasuk Bradford Royal Infirmary di West Yorkshire, England menjalankan ujian klinikal dos ketika bagi mengumpul bukti keberkesanannya terhadap virus Covid-19.

Pakar epidemiologi United Kingdom, Dr John Wright berkata ujian klinikal itu yang dikenali sebagai ‘CoV-Boost’ akan membantu untuk mendapatkan jawapan terhadap rangsangan penggunaan dos ketiga.

Wright berkata percubaan itu akan menguji tujuh pilihan berbeza, termasuk vaksin AstraZeneca, Pfizer, Novavax dan Janssen, dengan beberapa peserta akan hanya diberikan separuh dos.

Sementara itu, Khairy berkata Malaysia menerima lebih empat juta vaksin dari kilang di Belgium, selepas menjelaskan bayaran mengikut harga yang dipersetujui.

Katanya, EU tidak mengenakan sekatan eksport terhadap penghantaran bekalan vaksin yang dibeli oleh Malaysia.

Tiada ulasan: