Sabtu, 26 Jun 2021

'Kadar vaksinasi tinggi punca bekalan vaksin habis di beberapa PPV'

Malaysiakini

Beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 berdepan kekurangan bekalan ekoran kadar penggunaan vaksin yang tinggi, menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin.

Khairy bagaimanapun berkata isu tersebut hanya berlaku di beberapa PPV.

"Sekarang ini kita sedang tingkatkan kadar penggunaan vaksin. Jadi telah berlaku di beberapa PPV, di mana telah habis stok sedia ada dan penghantaran tak dapat dibuat.

"(Tetapi) ini mungkin untuk sehari dua sahaja. Kita cuba elak perkara ini dengan (buat) perancangan lebih rapi.

"Saya rasa dalam Julai, bila penghantaran (dibuat) lebih banyak, perkara ini tak akan berlaku lagi," katanya ketika sidang media di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur hari ini.

Kunjungan Khairy di situ hari ini bagi memantau pemberian vaksin kepada wanita mengandung.

Sebelum ini Malaysiakini menerima maklumat bahawa ada PPV di beberapa negeri yang tidak dapat memberi vaksin kepada mereka yang hadir untuk temu janji vaksin kerana ketiadaan bekalan.

Khairy berkata masalah itu akan ditangani dan mereka yang tidak mendapat suntikan vaksin ketika temu janji mereka akan diberi tarikh yang baru.

Dia berkata daripada lapan juta dos yang telah diterima setakat ini, sebanyak tujuh juta dos telah digunakan.

Tiada ulasan: