Jumaat, 25 Jun 2021

Hubungi pihak berkuasa jika alami kemurungan: Rina Harun


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengingatkan mengenai bahaya kemurungan.

Anggota keluarga dan orang sekeliling perlu menghubungi pihak berkuasa jika didapati mana-mana individu dan kenalan mengalami masalah kemurungan, terutama ketika pandemik Covid-19 sekarang ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyrakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengingatkan demikian kerana penyakit kemurungan berbeza daripada kesedihan dan individu yang mengalami perlu mendapat rawatan sewajarnya.

“Apabila mereka ini mengalami kemurungan, orang yang paling hampir tahu sama ada mereka ini murung adalah ahli keluarga bukan semestinya mereka yang mengalami kemurungan sahaja patut membuat panggilan kepada kami tetapi ahli keluarga juga perlu ambil peduli dalam keadaan sebegini.

“Kalau kita tengok mungkin rakan-rakan atau pun ahli keluarga kita berubah dari segi tingkah laku dan sebagainya cepat-cepat hubungi Talian Kasih,” katanya hari ini.

Rina mengulas mengenai kes bunuh diri ekoran tekanan disebabkan pandemic Covid-19.

Mengulas lanjut, kementeriannya mendapati punca utama mereka mengalami kemurungan sehingga membunuh diri antaranya tekanan ekonomi ekoran dibuang kerja dan tekanan kerja di rumah.

“Di kementerian, kita ada Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam dibuka kepada rakyat untuk membuat panggilan, tele kaunseling dengan kerjasama 300 kaunselor yang berdaftar yang boleh memberikan khidmat bimbingan kauseling, dan kita juga ada bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dan negeri-negeri juga dibuka.

“Kementerian juga akan menggerakkan Skuad Wanita Anti Jenayah (WAJA) yang telah dilatih,” katanya.

Kelmarin , seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengalami kemurungan selepas perniagaannya mengalami kerugian dipercayai terjun sdari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Pulau Pinang.

Isnin lalu, seorang lelaki mengurung isteri dan dua anaknya akibat tekanan perasaan yang dialami selepas hilang pekerjaan sebagai penjual kereta di Taman Nusa Intan, Seremban.

Sementara itu beliau berkata, lebih 1.7 juta warga emas di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Data sehingga 20 Jun itu menunjukkan, daripada jumlah itu seramai 568,282 warga emas telah lengkap menerima dua dos suntikan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peribadinya berbentuk barang keperluan bagi menyokong Program Komuniti Gerobok Rezeki di Desa Vista, di Sepang, hari ini.

Katanya, kira-kira 2.6 juta daripada 3.2 juta warga emas di Malaysia mendaftar di aplikasi MySejahtera untuk mendapat suntikan Covid-19.

Tiada ulasan: