Selasa, 3 Mac 2020

Negeri Sembilan tetap milik PH – MB

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF03032020_PERASMIAN-JANAKUASA-TUANKU-MUHRIZ27
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL
 

PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yakin akan terus menjadi kerajaan meskipun berlaku pergolakan di beberapa buah negeri yang akhirnya telah menyebabkan terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berterima kasih terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH serta exco-exco kerajaan negeri yang terus menggembleng tenaga untuk memastikan negeri tersebut sentiasa dalam keadaan stabil.

“Terima kasih kepada semua rakyat di Negeri Sembilan yang ingin melihat kestabilan yang baik ini.

“Kerajaan negeri nampaknya terus menjalankan tugas, sebagai sebuah kerajaan Insyaallah kita yakin mampu membangunkan negeri ini meskipun dalam suasana yang tidak menentu ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Stesen Janakuasa Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Aminuddin turut menaruh keyakinan kerajaan Negeri Sembilan pimpinan PH masih lagi mendapat sokongan 100 peratus daripada rakyat negeri itu.

Dalam pada itu kata beliau, semangat setiakawan dan integriti yang tinggi serta hubungan baik dalam pentadbiran kerajaan negeri menyebabkan PH di negeri berkenaan bertambah kuat.

Beliau yakin menerusi pegangan tersebut ia tidak mungkin boleh mengubah pendirian teguh pimpinan negeri yang sememangnya utuh dengan matlamat demi rakyat.

“Dan ini yang telah saya maklumkan beberapa kali bahawa inilah masa untuk bekerja demi rakyat Negeri Sembilan. Kita nak pastikan bahawa kestabilan ini mampu menjadikan kita negeri ini baik.
Negeri sembilan tetap Pakatan Harapan,” tegasnya.

Semalam, kerajaan PH Melaka tumbang dan bakal diambilalih oleh gabungan parti politik baharu yang dikenali Perikatan Nasional.

Perubahan itu adalah selaras dengan perubahan kerajaan Pusat kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ab. Raof Jusoh.

Pelantikan ketua menteri yang baharu di negeri itu juga akan diumumkan dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: