Sabtu, 20 Januari 2018

Wanita PAS Sokong Kerajaan Tangani Diskriminasi Hijab


Nuridah Mohd. Salleh

MYNEWSHUB.CC

KUALA LUMPUR – Wanita PAS menyokong penuh langkah kerajaan Malaysia untuk meminda Akta Kerja 1955 bagi menangani diskriminasi majikan ke atas pekerja wanita bertudung di negara ini.

 

Ketuanya, Nuridah Mohd. Salleh berkata, pindaan tersebut sangat wajar ekoran diskriminasi keatas wanita bertudung di tempat kerja terutama dalam industri perhotelan didakwa semakin melampau.

“Pindaan tersebut jalan terbaik bagi menangani isu larangan pemakaian tudung bagi pekerja wanita sektor perhotelan.

“Justeru, kami melihat tindakan ini sangat wajar supaya pekerja Melayu tidak lagi ditindas di negara sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem baru-baru ini memaklumkan pindaan undang-undang bagi menangani larangan diskriminasi di tempat kerja akan disegerakan melibatkan pengenalan peruntukan baru di bawah Akta Kerja 1955.

Ia ekoran Kementerian Sumber Manusia mengesan hotel mengamalkan polisi larangan bertudung semasa bekerja yang bertentangan dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang melarang sebarang bentuk diskriminasi berasaskan agama dan keturunan.

Nuridah seterusnya berkata, wanita PAS berharap tindakan serius akan turut dikenakan bagi mereka yang masih melanggar akta yang telah ditetapkan. – MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: