Rabu, 17 Januari 2018

Tiada paksaan dalam agama?

 
Paksaan adalah lawan kepada Islam yang sebenar. Malangnya itulah cara diambil orang yang mewakili Islam.
 
 
 
quran

Tiap-tiap minggu, ada sahaja berita yang memberi gambaran negatif tentang Islam di Malaysia.
Baru-baru ini, seorang usahawan kosmetik dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana ada khabar angin mengatakan dia transgender.

Sekali lagi Jakim diketawakan apabila netizen bertanya – tak ada kerja lain ke mereka ini? Kenapa mereka tidak mengadakan kuliah-kuliah tentang korupsi yang makin lama makin melemahkan negara?

Jakim sebenarnya adalah bukti yang otoriti dalam agama adalah bercanggahan dengan hukum alam. Kerana mereka mempunyai bajet lebih kurang RM1 bilion, mereka terpaksa memberi justifikasi dengan polisi yang menyusahkan rakyat. Bila tak ada masalah, cari masalah, seperti kes Nur Sajat untuk menjustifikasikan bajet itu.

Paksaan (dalam bahasa Al-Quran “ikrah” atau bahasa Arab moden, “karh”) adalah unsur yang selalu terdapat dalam otoriti agama terutamanya agama Islam. Ia menghairankan, kerana dalam bidang agama, yang membuatkan kita menjadi ahli agama itu ialah sesuatu yang ghaib.

Maknanya, kita tak dapat membuktikan kepada sesiapa yang lain (kecuali diri kita sendiri) yang Tuhan wujud, Rasul itu membawa yang benar dan Kitab itu benar-benar daripada Tuhan. Semua ini adalah perkara dalaman yang kita perlu mengimani dengan proses yang semulajadi dan proses ini diperincikan dalam Al-Quran sendiri. Kita tidak boleh memaksa sesiapa menjalani proses ini, jauh lagi memaksa orang itu mendapati keputusan yang sama dengan kita.

Beberapa hari yang lepas, Mufti Negri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata sesiapa yang ingin meninggalkan Islam, hukumannya adalah hukum bunuh. Namun begitu, katanya lagi, Malaysia tidak dapat menguatkuasakan hukuman ini. Seperti sedih pula yang di Malaysia kita tak dapat bunuh orang!

Soalan saya, mengapa Yusof berkata begini? Adakah dia tidak yakin dengan hukuman yang sedia ada di Malaysia? Bergantung kepada negeri, hukumannya adalah denda atau penjara. Adakah ini tidak mencukupi bagi Yusof?

Soalan saya yang seterusnya – kenapakah Yusof mengatakan yang hukuman bunuh ini “hukuman Islam” seolah-olah ini pandangan daripada Al-Quran? Mungkin dia tidak tahu tetapi hukuman bunuh untuk murtad adalah berlawanan dengan ajaran Al-Quran.

Allah terang-terang berfirman yang tiada paksaan dalam agama (“laa ikrah fi ad-deen”, Surah Al-Baqarah, Ayat 256) dan memberi peringatan kepada Nabi Muhammad sendiri yang jika Allah kehendaki, Dia boleh menundukkan semua manusia supaya Nabi tidak memaksa manusia sehingga mereka beriman.

Iman akan datang kepada orang yang menggunakan akal (10:99-100). Jadi bagaimana pula Yusof boleh mengatakan yang hukuman bunuh itu adalah “hukuman Islam” sedangkan Al-Quran terang-terang menidakkan paksaan dalam agama?

Soalan ketiga – apakah kebaikan memaksa orang? Katakan orang yang dibesarkan sebagai Muslim itu mahu meninggalkan agama dan kita menghalangnya, apakah manfaatnya kepada orang Islam?
Adakah ia memberi nombor bancian yang baik? Dengan mendabik dada, kita boleh berkata yang Malaysia mempunyai berjuta-juta orang Islam padahal di kalangan jutaan itu ada yang tidak sebenarnya percaya.

Ini adalah mentaliti yang cetek lagi dangkal. Dalam Al-Quran, kita dapati yang apa yang penting bukanlah bilangan orang, tetapi kualiti orang dalam bilangan tersebut.

Contohnya, dalam perang Hunain, nombor yang besar tidak dapat menolong umat Islam (9:25) tetapi dengan bilangan yang sedikit, mereka dapat mengalahkan orang yang menyerang mereka kerana mereka beriman yang mantap (8:65).

Paksaan bukan sahaja berlaku pada peringkat identiti sebagai orang Islam (Islam Mykad, kata orang) tetapi juga pada peringkat amalan ritual.

Di sebuah sekolah di Shah Alam, pelajar yang tiba lewat ke sekolah akan dipaksa untuk mengerjakan sembahyang dhuha. Sembahyang dhuha ini adalah sembahyang sunat yang sekarang menjadi trend umat Islam. Kononnya, sesiapa yang mengerjakannya akan murah rezeki!

Poinnya di sini bukanlah tujuan atau pun kebenaran sembahyang dhuha (yang sememangnya tiada dalam Al-Quran). Poinnya ialah menggunakan sembahyang sebagai satu hukuman kepada pelajar.

Jika mereka datang lewat ke sekolah, maka wajarlah mereka dikenakan tindakan disiplin sahaja. Mengapa pula mereka dipaksa sembahyang begini?

Mungkin guru mereka tidak terfikir, jika sembahyang itu dikaitkan dengan hukuman, apakah mentaliti yang akan ada kepada pelajar-pelajar ini? Mereka akan melihat sembahyang itu sebagai satu perkara yang negatif, yang dipaksa ke atas mereka jika mereka berlaku salah.

Ini bukan mentaliti yang sihat untuk dikaitkan dengan agama. Sepatutnya, agama itu membawa satu perkaitan yang positif (positive association) kepada penganutnya. Guru sekolah ini perlu berfikir panjang sebelum mengenakan tindakan yang bodoh ini.

Paksaan, harus diingat, adalah lawan kepada Islam yang sebenar. Islam yang sebenar adalah satu proses semulajadi yang akan berjalan jika kita menggunakan akal.

Malangnya, orang yang mewakili agama Islam jarang mahu menggunakan akal dan lebih suka menghukum dan mendenda. Inilah sebabnya Islam di Malaysia penuh bermasalah.

Tiada ulasan: