Khamis, 18 Januari 2018

Langkah YB Datuk Mahfuz semakin sumbang

DETIK DAILY

 
Oleh DR RIDUAN MOHD NOR

 HUJAH dan dakwaan YB Datuk Mahfuz Omar terhadap Presiden PAS bahawa PAS adalah ‘oportunis politik’ begitu dangkal dan memualkan. Sikap beliau yang menyerang PAS selepas Muktamar Tahunan PAS tahun 2015 semakin menjadi-jadi sehinggalah beliau keluar PAS dengan sendirinya awal tahun ini. 
 
Beliau telah menunjukkan wajah dan warna beliau sebenar, bahawa beliau mahu menjadikan PAS sebagai musuh, bukan UMNO-BN. Mungkin kerana ‘terlajak berpolitik’ menjadikan beliau lebih emosi, kurang cerdik dalam penilaian dan gopoh dalam tindakan. Kini langkahnya selepas keluar PAS menjadi semakin sumbang, dan saya bimbang beliau akan tumbang.

Beliau mengambil sikap semberono dengan menembak membabi buta tanpa pemahaman yang sebenar, kajian mendalam dan mengetahui situasi yang berlaku. Sikap beliau yang mudah membuat kesimpulan serta menjadi ahli nujum yang meramalkan apa yang berlaku amat dikesali. 
 
Dalam keadaan bacaan politik semasa dan akan datang yang semuanya memerlukan kajian, angka dan fakta yang spesifik, beliau masih lagi menggunakan kaedah persepsi dan mengikut perasaan. Sepatutya ahli politik seperti beliau sudah bersara kerana strategi menyerang yang beliau gunakan telah ketinggalan zaman.

Kenyataan Presiden PAS bahawa PAS mensasarkan 40 kerusi Parlimen untuk dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 dan akan menjadikan alat ‘tawar menawar’ bukanlah sesuatu yang pelik untuk diucapkan. Secara keseluruhannya, PAS bertanding di 130 buah kerusi parlimen seluruh negara, dan Presiden PAS meletakkan sasaran 40 buah kerusi Parlimen adalah amat realisitik dan dalam jangkaan. 
 
PAS bukan bercakap kosong dan ‘berangan-angan’ tinggi tanpa menyedari kenyataan. Kajian lapangan dari banyak pihak mendapati angka yang disebutkan Presiden PAS itu boleh terhasil dan diperolehi.

Dengan kemenangan 40 buah kerusi parlimen yang disasarkan, PAS akan menjadi penentu terhadap kerajaan yang akan dibentuk nanti. Oleh kerana PAS berjuang bersama Gagasan Sejahtera dan bukan Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional, PAS akan menjadi alternatif kepada kerajaan baharu kelak. Situasinya jika Pakatan Harapan atau Barisan Nasional kekurangan kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan maka, PAS diperlukan bagi mencukupkan kerusi yang mereka perlukan untuk membentuk kerajaan. 
 
Ketika itu, pasti ada pihak yang terhegeh-hegeh mahu bertemu dan melutut pada PAS menagih simpati bersama dengan mereka. Tuan Guru Presiden PAS berpandangan jauh dengan meletakkan sasaran kerusi lebih awal sebagai tanda aras bahawa pada ketika itu nanti (jika mengikut jangkaan kerusi yang dimenangi), situasi sebegitu akan terjadi. YB Datuk Mahfuz boleh menggelakkan PAS ketika ini, tetapi jika usai PRU ke 14 keadaan itu berlaku, jangan pula tercengang dan malu sendiri pula.

Pandangan YB Datuk Mahfuz juga amat cetek dengan menyatakan bahawa PAS bukanlah sebuah parti pembangkang yang relevan untuk melawan rejim UMNO / BN dan menganggap PAS tidak lagi berprinsip. Sebenarnya beliau lupa, PAS lebih berprinsip dari mana-mana parti politik. PAS sanggup berjuang bersama Gagasan Sejahtera sebagai alternatif ketiga demi mengekalkan prinsip dan dasar perjuangannya. 
 
Dalam keadaan demikian, banyak parti dalam PH dalam diam cuba ‘menjalin hubungan’ dengan PAS agar mereka dapat mendapat sentuhan kekuatan PAS walaupun terpaksa tikam menikam sesama sendiri. Ini menunjukkan harga diri PAS begitu tinggi.

Soal yang dibangkitkan bahawa PAS tidak akan bersama PH jika PAS mendapat 40 buah kerusi Parlimen manakala PH atau BN tidak mendapat kerusi majoriti, siapa YB Datuk Mahfuz untuk menilai hati budi PAS? Dalam politik segalanya mungkin, tidak ada kawan dan musuh selamanya.
 
Di sinilah nantinya YB Datuk Mahfuz akan mengetahui kecerdikan kepimpinan PAS kerana visi dan matlamat kami jauh lebih jauh dari politik jangka pendek. Demi Islam, Malaysia dan survival rakyat di negara ini PAS akan ‘meletakkan tawaran yang bermanfaat’ bagi memastikan Islam berdaulat, rakyat sejahtera dan negara Malaysia selamat dan aman selamanya dari pemimpin rasuah. 
 
 

Tiada ulasan: