Selasa, 23 Januari 2018

Anina bukan ancaman PPBM, kata pemimpin parti

 
Dua ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, pendirian politik Anina Saadudin yang berubah 180 darjah menyebabkan beliau hilang semua kredibiliti yang pernah dimilikinya.


Anina-Saadudin

PETALING JAYA: Tindakan Anina Saadudin menyerang PPBM yang ditubuhkan atas bantuannya hanya akan memakan dirinya, kata seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Datuk Rais Hussin yang mengetuai Biro Strategi dan Dasar PPBM berkata, orang ramai mendapati sukar mempercayai wanita itu kerana pendirian politiknya yang berubah 180 darjah.

“Ia akan membantu kami. Anina terkenal kerana membuat banyak serangan lisan ke atas Najib,” katanya kepada FMT merujuk Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

“Tetapi, kini beliau berpaling dan memuji Najib serta Umno. Apabila anda berbuat demikian, anda akan hilang semua kredibiliti yang pernah anda miliki.

“Jadi, Anina boleh cakap apa yang beliau mahu kerana tiada orang akan percaya. Beliau tiada kredibiliti untuk memberi ancaman kepada kami lagi.”

Anina yang kini mengetuai NGO bernama “Empirical Malaysia” mengadakan sidang media Sabtu lalu, menggesa rakyat tidak menyokong Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipilih sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), jika gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau mengingatkan pengundi memilih parti dan calon yang boleh membela nasib orang Melayu serta Bumiputera demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Seorang lagi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Tariq Ismail yang bersetuju dengan Rais, berkata Anina memilih “strategi salah” sejak peletakan jawatannya dalam PPBM.

“Pengumuman itu tidak mendatangkan impak besar kerana beliau melakukannya bersama Cikgu,” katanya merujuk nama panggilan seorang lagi pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman yang keluar parti April 2017, beberapa bulan sebelum Anina.

“Cikgu memburuk-burukkan PPBM sebaik sahaja beliau keluar parti. Jadi, rakyat tahu beliau bersama Umno sekarang. Ia baik untuk kami yang Anina memilih strategi salah, tetapi saya simpati dengannya.”

Anina menjadi perhatian ramai pada Ogos 2015 ketika masih bersama Umno Bahagian Langkawi, selepas satu rakaman video beliau mengkritik Najib menipu ahli parti tersebar di media sosial.

Beliau dipecat Umno pada bulan berikutnya, selepas beliau memfailkan saman terhadap Najib atas dakwaan menipu ahli Umno kerana menerima RM2.6 bilion pada Mac 2013 dan menggunakan wang itu tanpa pengetahuan parti.

Anina membantu menubuhkan PPBM pada September 2016, sebelum meninggalkan parti itu setahun kemudian kerana terlalu kecewa dengan pucuk pimpinan PPBM.

Ia termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua Wanita PPBM, sebelum digugurkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dengan “menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu

Tiada ulasan: