Ahad, 14 Mei 2017

Tiada jaminan Azmin kekal MB Selangor, kata AJK PAS

THE MALAYSIAN INSIGHT
Tiada jaminan Azmin kekal MB Selangor, kata AJK PAS
Jika Mohamed Azmin Ali memecat ketiga-tiga wakil rakyat PAS sebagai exco Selangor, tiada jaminan beliau akan kekal sebagai menteri besar negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 
 
AHLI Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengatakan kedudukan Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Selangor masih belum tentu selamat.

Khairuddin berkata sekiranya Azmin memecat ketiga-tiga wakil rakyat PAS sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) Selangor, tiada jaminan beliau akan kekal sebagai menteri besar.

“Kita tengok apa akan berlaku. Selepas itu apakah jaminan Azmin akan kekal sebagai menteri besar.

“Kalau dia nak bertindak, dia kena tengok apa manfaat ke atas diri dia juga,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

Khai­ruddin bagaimanapun dilaporkan Utusan Online sebagai berkata, tiga exco PAS di Selangor yang dilantik akan tetap menjalankan tugas sehingga khidmat mereka diperlukan.

Azmin pada Jumaat memanggil semua tiga exco daripada PAS, Iskandar Abdul Samad, Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib bertemu dengannya.

Pertemuan itu diadakan sehari selepas Majlis Syura Ulama PAS menerima keputusan muktamar untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Semalam, Iskandar yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor menafikan Azmin meminta ketiga-tiga exco daripada parti Islam itu meletakkan jawatan pada pertemuan Jumaat lepas.

Tiada ulasan: