Selasa, 9 Mei 2017

Polis tahan lelaki terlibat aktiviti penipuan forex RM3.5 juta

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
JITRA: Seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan selepas disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penipuan forex membabitkan nilai keseluruhan RM3.5 juta. 
 
Suspek berusia 43 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri di hadapan sebuah bank di Kota Sarang Semut, di sini, kira-kira jam 4.30 petang semalam. 
 
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Polis Sahabudin Abdul Manaf, mengesahkan penahanan suspek susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa kerugian RM50,000 selepas menjadi antara mangsa skim pelaburan itu. 
 
Beliau berkata nilai RM3.5 juta adalah jumlah kerugian terkumpul dialami membabitkan lebih 10 mangsa yang rata-ratanya dari sekitar negeri ini. 
 
"Berdasarkan maklumat skim itu menawarkan keuntungan 50 peratus kepada pelabur bagi setiap dua minggu, namun tiada sebarang pembayaran dibuat. 
 
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam penipuan," katanya. 
Sahabudin berkata, pihaknya turut merampas dua keping kad juruwang automatik (ATM) dan sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatan kes itu. 
 
"Kita harap lebih ramai mangsa tampil untuk membuat laporan berhubung kes itu bagi memudahkan pihak kami menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kubang Pasu di sini, hari ini. 
 
Pada majlis itu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sik menerima tugas itu daripada Pemangku Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chan Keat Seang
 
 

Tiada ulasan: