Sabtu, 13 Mei 2017

PDRM tubuh jawatankuasa khas tangani jenayah ragut

Kumara Sabapatty
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bercakap pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah yang dianjurkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL,
 
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencegah jenayah ragut secara agresif di ibu negara.
 
Susulan itu, satu operasi penguatkuasaan khas akan dilancarkan dalam masa terdekat untuk memerangi jenayah ragut di ibu kota.
 
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, PDRM akan mengambil langkah-langkah drastik dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) untuk menghapuskan jenayah ragut yang makin kritikal.
 
“Seperti diketahui semua, kes kejadian jenayah ragut dan penyebaran video ragut bertambah serius di ibu negara.
 
“Ia sudah pasti membawa imej buruk terhadap negara kita dan tidak sanggup membiarkan ia berterusan sehingga mengancam keselamatan awam.
 
“Kita akan menggunakan semua penguatkuasa beruniform yang ada iaitu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan berganding dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi ini,” katanya di sini.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media Seminar Pencegahan Jenayah anjuran MCPF dengan kerjasama Polis Kontinjen Kuala Lumpur  dan  Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Off Jalan Duta di sini hari ini.
 
Noor Rashid berkata, operasi itu akan memfokuskan kepada penunggang motosikal dan penagih dadah.
 
“Segala butiran pencegahan jenayah seperti jenayah ragut telah dibincangkan bersama MCPF,” ujarnya.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner, Datuk Mazlan Lazim bahawa jenayah ragut semaakin meningkat kerana sejak awal Januari hingga kini sebanyak 368 kes ragut telah dilaporkan di ibu negara.
 
“Operasi pencegahan jenayah ragut dan dadah adalah hanya permulaan di Kuala Lumpur sahaja ketika ini,” katanya.- MalaysiaGazette
 
 

Tiada ulasan: