Khamis, 4 Mei 2017

Najib perlu jelaskan kegagalan urus niaga Bandar Malaysia


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti menjelaskan kegagalan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd dalam urus niaga penjualan 60 peratus daripada 486 ekar tanah prima di Bandar Malaysia yang bernilai RM7.42 bilion.

Ia, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, bagi mengembalikan semula keyakinan awam khususnya rakyat Johor ekoran kegagalan urus niaga itu yang melibatkan syarikat Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd (CREC) sebagai pihak pembeli.

Untuk rekod, 40 peratus saham IWH dimiliki kerajaan negeri Johor melalui Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd.

“Ia membangkitkan isu serius berhubung kebertanggungjawab dan ketelusan, terutamanya persoalan mengenai mengapa lanjutan tempoh pembayaran diberikan sejak 31 Disember 2015.

“Ia turut membangkitkan persoalan sama ada deposit yang dibayar IWH-CREC sebanyak RM741 juta akan hilang,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini.

IWH membentuk konsortium dengan CREC dengan masing-masing memegang 60 peratus dan 40 peratus saham.

TRX City dalam kenyataan semalam berkata perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dengan Konsortium IWH-CREC membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbanyak Bandar Malaysia Sdn Bhd kini terbatal ekoran kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut membangkitkan kemungkinan kegagalan urus niaga itu akan memberi kesan terhadap pelan rasionalisasi hutang 1MDB yang kini terlibat dengan skandal bernilai RM52 bilion.

“Ekoran kegagalan itu juga, ia membangkitkan kebimbangan sama ada ia akan terus menerus menjejaskan keyakinan pelabur dan akhirnya menjejaskan nilai matawang ringgit,” ujarnya yang juga Adun Air Putih. – Roketkini.com


Tiada ulasan: