Isnin, 8 Mei 2017

Ketua pegawai operasi anak syarikat Prasarana, isteri bebas reman dengan jaminan

THE MALAYSIAN TIMES



PUTRAJAYA: Ketua pegawai operasi sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) dan isterinya yang ditahan reman sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan dan menerima rasuah untuk kepentingan diri, dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek, 54, dan isteri, 50, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang.

Laporan media sebelum ini menyebut siasatan awal mendapati ketua pegawai operasi itu menerima wang rasuah dianggarkan berjumlah RM600,000 bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.

Difahamkan, suspek yang pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang, dipercayai mengambil wang rasuah sejak 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan di bawah penyeliaannya dan dimasukkan ke akaun milik isterinya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun serta denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.– Bernama

Tiada ulasan: