Sabtu, 6 Mei 2017

Apakah status pemilikan tanah Bandar Malaysia? soal Mahfuz

Berita Daily Staff

Kenyataan TRX City berkenaan pembatalan SSA dengan konsortum ICSB, menimbulkan keraguan rakyat terhadap projek ‘Bandar Malaysia’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar hari ini menggesa kerajaan memberi satu penjelasan terperinci berkenaan penamatan Perjanjian Jualan Sham (SSA) diantara TRX City Sdn Bhd dengan konsortium ICSB yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC).

Menurut Mahfuz, kenyataan TRX City yang merupakan sebuah entiti milik Kementerian Kewangan berkenaan pembatalan SSA ini, menimbulkan keraguan rakyat terhadap projek ‘Bandar Malaysia’ yang kini sedang menjalankan kerja-kerja mengosong tanah tersebut khususnya lapangan terbang Tentera Udara kem Sg Besi dan keseluruhan kem Tentera Sg Besi.

“Perjanjian ‘Bandar Malaysia’ sebelum ini disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang 1MDB.”

Pembangunan asal ‘Bandar Malaysia’ pada awalnya di bawah 1MDB, kemudiannya tanah berkenaan telah dipulangkan semula kepada Kementerian Kewangan. Berikutan pembatalan ini, Kementerian Kewangan yang memiliki 100 peratus TRX City Sdn Bhd kini memiliki 100 peratus ‘Bandar Malaysia’.

Namun, satu ‘Perjanjian Jualan Saham’ yang dimeterai pada 31 Disember 2015 untuk projek ‘Bandar Malaysia’ oleh TRX City konsortium ICSB yang menguasai 60 peratus dari projek ‘Bandar Malaysia’ ialah tentang kedudukan keseluruhan tanah ‘Bandar Malaysia’ seluas 486 ekar. Tetapi, TRX City mengesahkan perjanjian tersebut batal.

“Apakah status pemilikan tanah tersebut?” soal Mahfuz dalam satu kenyataan.

Tambahnya, persoalan ini perlu penjelasan kerajaan kerana perjanjian sebelum ini telah dibuat di mana persetujuan kerajaan menjual ekuiti ‘Bandar Malaysia’ dengan pembayaran hanya akan dibayar oleh CREC syarikat dari China pada tahun 2022.

“Ini telah pun dibangkitkan oleh mantan Menteri Kewangan II Husni Hanadzlah dalam perbahasan bajet 2017 pada Oktober 2016 yang lalu,” jelasnya lagi.

Ujar Mahfuz lagi, persoalan Husni itu menggambarkan 1MDB yang diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak dengan semua perkara perlu dirujuk kepada beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini tetapi kini kuasa merujuk itu dipindahkan pula kepada Menteri Kewangan menggambar pentadbiran Najib telah melakukan perjanjian yang paling ‘mangkar’ (bodoh).

“Iaitu barangan dijual sekarang dan bayaran hanya akan kita perolehi pada tahun 2022.”

Berdasarkan pelancaran projek ‘Bandar Malaysia’ yang telah dilancarkan Najib sebelum ini, pastinya plan pembangunan projek tersebut telah pun diluluskan.

“Difahamkan ICSB telah membayar sejumlah RM150 juta sebagai pembida berjaya pada tahun 2015 dengan ICSB akan memiliki sejumlah 60 peratus daripada ‘Bandar Malaysia’ dengan nilai sejumlah RM7.41 billion, dimana ia telah menilaikan projek ‘Bandar Malaysia’ seluas 486 ekar tersebut sebanyak RM12.35 billion…Adakah tanah tersebut telah dipindah milik kepada konsortium ICSB?” soalnya lagi.

Mahfuz juga membangkitkan soalan adakah 1MDB yang dikuasai oleh Najib hanya memberikan ‘wakil kuasa’ (Power of Attorney) kepada konsortium ICSB?

“Jika kedua-dua keadaan ini berlaku sama ada dipindah milik atau wakil kuasa ianya membolehkan pihak konsortium mencagar (gadai) tanah tersebut kepada bank untuk membolehkan mereka mendapat pinjaman wang bagi pembiayaan projek ‘Bandar Malaysia’.”

“Ini pernah berlaku kepada projek pembinaan komplek 7 Briged Kem Tentera Darat Skudai yang dibangunkan di tanah seluas 222.415 hektar melalui penyerahan tanah hak milik kerajaan (land swap) kepada kontraktor,” katanya.

Menurutnya, kerajaan telah memindah milik tanah Kem Majidee dan Kem Tebrau seluas 155 hektar kepada kontraktor syarikat Kausar Corporation Sdn Bhd milik Bumiputera Melayu dan kontraktar tersebut kemudiannya telah cagarkan (gadai) tanah tersebut kepada Malaysian Building Society Berhad (MBSB) bagi tujuan mendapatkan pinjaman berjumlah RM465 juta untuk membiayai pembinaan kompleks 7 Briged, Kem Tentera Darat Skudai.

“Apa yang terjadi projek tersebut terbengkalai hingga sekarang dan kontraktor tersebut telah ditamatkan dan tanah tersebut telah menjadi milik MBSB serta tidak diketahui apa status tanah di kedua-dua kem tersebut. Sepatutnya dengan logik akal, tanah tersebut di pindah milik selepas projek siap,”tegas beliau.

“Apakah ‘pisang akan berbuah dua kali’ kepada tanah di tapak kem Sungai Besi (‘Bandar Malaysia’)  yang sangat strategik akan digadai oleh syarikat dari negara China dan kita telah mengorbankan strategi pertahanan hadapan negara dengan menjual kem dan lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sg Besi,” tambahnya lagi.

Kerajaan perlu memberi jawapan kepada soalan Husni yang masih tidak dijawab dan persoalan hari ini ekoran pembatalan perjanjian dengan konsortium ICSB yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) yang saya bangkitkan ini, kata Mahfuz

Tiada ulasan: