Ahad, 14 Mei 2017

Apabila rakyat hilang sokongan parti-parti politik



Oleh Timmy Say

Selalu kita kedengaran bahawa parti politik takut kehilangan sokongan rakyat. Kewujudan ketakutan itu menjadikan ‘desakan rakyat’ menjadi satu senjata berbisa di dalam ruang demokrasi.

Senjata itu seringkali digunakan untuk menundukkan ego sesebuah parti politik agar akur dengan satu-satu desakan yang sedang didendangkan.

Selagi mana-mana parti itu mengejar kuasa, lazimnya senjata ini akan kekal berbisa.

Malangnya hari ini, senjata ini semakin tumpul. Ia tumpul bukan kerana ia hilang bisa. Ia tumpul akibat perpecahan yang dialami rakyat hari ini sama teruknya dengan perpecahan politik di dalam negara.

‘Desakan rakyat’ hari ini tidak lagi dilihat sebagai ‘desakan rakyat’ yang bulat.

Ia kini berpecah kepada ‘desakan sekumpulan rakyat’, ‘desakan sesetengah bangsa’ dan juga ‘desakan sesetengah agama’. Perpecahan ini juga menyebabkan parti-parti politik di Malaysia bertindak mengikut desakan kumpulan penyokong masing-masing. Apa yang berlaku di Malaysia hari ini ialah realiti semasa akibat perpecahan ini.

Oleh itu, rakyat harus sedar bahawa realiti di dalam dunia politik hari ini sudah berlainan.

Hari ini, rakyat dan parti-parti politik saling menjual dan membeli dan bukan lagi berdasarkan konsep utopia di mana “rakyat ialah bos kepada parti-parti politik.”

Mengambil isu GST sebagai contoh; di sini BN ialah penjual manakala rakyat ialah pembelinya.

Kalau asalnya rakyat tidak menerima GST, hari ini sudah ada penyokong tegar GST. Ini bermaksud ada rakyat yang sudah dijual isu ini.

Bagaimana pula dengan isu 1MDB? Di dalam isu 1MDB, situasinya adalah terbalik; di mana rakyat adalah penjual, manakala parti politik ialah pembeli.

Kalau dulu hanya sikit yang menyentuh isu 1MDB, hari ini ramai ahli politik yang berani menyentuh isu 1MDB sehingga terlahirnya PPBM. Ini bermaksud ada parti politik yang dijual isu ini untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Rakyat perlu jaga ‘harga’ mereka

Namun begitu, rakyat perlu menjaga ‘harga’ mereka di kalangan parti politik.

Jika ada mana-mana segmen rakyat yang meletakkan harganya terlalu tinggi, maka secara automatiknya para pembeli akan hilang minat.

“Hilang minat macam mana,” ada yang bertanya.

Dalam bahasa mudahnya, ia bermaksud sesetengah parti politik itu sudah menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mendapat sebarang sokongan daripada sesetengah segmen rakyat ini meskipun mereka terus melayan pelbagai karenah mereka.

Pendeknya, boleh dikatakan bahawa sesetengah parti politik sudah putus asa dengan sesetengah segmen rakyat.

Apabila ini terjadi, ini bermaksud segmen rakyat itu telah hilang sokongan sesetengah parti politik.
Parti-parti politik yang sudah putus asa dengan mereka akan meneruskan agenda tanpa mereka di dalam perkiraan. Segala desakan mereka tidak akan lagi berbisa. Betapa kuatnya rungutan mereka tidak akan lagi diendahkan.

Malah segala tohmahan, desakan, rungutan dan sindiran akan mengukuhkan lagi azam parti-parti politik ini untuk bergerak ke depan bagi mengekalkan dan meraih lebih sokongan daripada segmen rakyat yang bersetuju dengan mereka.

Ini tidak menghairankan kerana ini sahaja jalan yang ada. Apabila parti-parti politik telah berputus asa dengan segmen rakyat yang menentang mereka, ia ibarat jambatan untuk U-turn telah pun dirobohkan.

Rakyat perlu ingat, seperti mereka parti-parti politik juga lebih cenderung melabur masa dan wang ringgit pada kumpulan rakyat yang masih memberikan harapan untuk parti-parti politik meraih sokongan mereka di pilihan raya nanti.

Tiada siapa yang mahu membazir masa pada kumpulan yang sudah menunjukkan tekad untuk tidak menyokong mereka.

Hanya sesetengah segmen rakyat yang bodoh sahaja yang sanggup kehilangan sokongan parti-parti politik, terutamanya parti-parti politik yang ditunjangi oleh majoriti rakyat di negara ini. Ini ibarat mematahkan senjata sendiri.

Usah salahkan parti-parti politik jika negara tidak bergerak ke arah yang sepatutnya sekiranya rakyat hanya tahu membeli dan tidak mahir menjual berbanding parti-parti politik.

Tiada ulasan: