Ahad, 14 Mei 2017

Amanah Johor akan bentang resolusi urus tadbir kepada PH

AMNI JAGAT

Amanah Negeri Johor mengadakan perbincangan mengenai empat isu rakyat di negeri itu dalam seminar semalamAmanah Negeri Johor mengadakan perbincangan mengenai empat isu rakyat di negeri itu dalam seminar semalam

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Johor akan membentangkan resolusi berkaitan pembangunan dan urus tadbir negeri kepada Pakatan Harapan negeri itu sebagai tawaran kepada rakyat.

Resolusi berkaitan empat isu utama di negeri itu iaitu isu air, alam sekitar, perumahan hartanah, serta pendidikan dan perkerjaan dibuat melalui seminar 'Pembangunan Dan Urus Tadbir Negeri Johor' semalam.

Menurut Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad, seminar itu diadakan bagi mengenal pasti masalah rakyat yang gagal ditangani kerajaan negeri.

"Seminar ini diadakan bagi kita mengenal pasti masalah rakyat dan turut menjadi permasalahan bagi Kerajaan Negeri Johor dalam menangani masalah-masalah ini serta perkara ini adalah suatu kelopongan yang perlu diatasi.

“Penumpuan yang diberikan dalam seminar ini adalah pada empat isu utama iaitu isu air alam sekitar, perumahan hartanah, pendidikan dan perkerjaan yang sentiasa membelenggu rakyat yang mana sehingga kini tidak pernah diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Beliau juga berkata, gerak kerja ke arah mencari penyelesaian kepada masalah rakyat rakyat akan segera dilaksanakan.

“Seminar ini adalah anjuran Parti Amanah Negara namun resolusi yang akan terhasil ini akan dibentangkan kepada Pakatan Harapan Negeri Johor sama ada dalam konvensyen atau perbincangan mengenai tawaran di negeri Johor.

“Dengan tawaran yang kami sediakan ini, kami akan mengadakan suatu gerak kerja ke arah mencari penyelesaian dalam masalah yang menimpa rakyat di negeri Johor ini agar nasib mereka terbela,” katanya.

Seminar itu membariskan ahli akademik yang membentangkan kertas kerja berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan majlis penuup disempurnakan oleh Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan.

Tiada ulasan: