Sabtu, 13 Mei 2017

Ada pihak reka cerita isu letak jawatan Exco Selangor, dakwa Yunus Hairi

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Isu peletakan jawatan Exco Kerajaan Selangor dari PAS tidak dibincangkan dalam pertemuan antara empat pemimpin parti itu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 
 
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata beliau terkejut apabila membaca laporan media menyatakan Mohamed Azmin meminta mereka meletak jawatan Exco. 
 
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai laporan itu melalui akhbar selain ia sedang hangat diperkatakan. 
 
"Mesej beliau (Mohamed Azmin) yang terkini, beliau kata akan letak Exco PAS dalam Kabinetnya. Saya ambil yang terkinilah. 
 
"Sebab itu saya pun terkejut apabila keluar dalam akhbar tu. Siapa yang mencipta cerita ini?" katanya kepada pemberita di sini.
 
Dr Ahmad Yunus berkata, dalam pertemuannya dengan Mohamed Azmin yang turut disertai Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, pagi semalam, Timbalan Presiden PKR itu bertanyakan pandangan mereka selain membincangkan keputusan Majlis Syura Ulama Rabu lalu. 
 
Katanya, beliau dan rakan Exco akan mengambil kira semua pandangan termasuk keputusan PAS Pusat sama ada untuk terus berkhidmat atau sebaliknya.
 
"Yang saya dimaklumkan Datuk Seri akan berjumpa dengan presiden parti (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail). 
 
Di peringkat PAS sendiri, kita akan menunggu keputusan daripada PAS Pusat. 
 
"Jadi saya tidak berani buat komen apa-apa benda yang belum berlaku," katanya, selain menambah PAS Pusat juga belum ada keputusan mengenai kedudukan Exco PAS di Selangor. 
 
Ditanya mengenai kenyataan Mohamed Azmin bahawa beliau kecewa, Dr Ahmad Yunus yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor, berkata ia adalah kekecewaan terhadap Majlis Syura Ulama. 
 
"Itu hak dia. Saya pun tak boleh komen apa," katanya. 
 
Sallehen yang dihubungi juga menyatakan beliau tidak pasti dengan maklumat bahawa Mohamed Azmin mahukan Exco PAS Selangor melepaskan jawatan masing-masing dalam Kerajaan Negeri. 
 
"Ia tidak dibincangkan dalam pertemuan kami semalam. Saya tidak pasti dengan maklumat ini kerana saya tidak mendengarnya daripada Mohamed Azmin sendiri," katanya. 
 
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Mat Shuhaimi Shafiei, ketika ditanya mengenai laporan berita itu, berkata ia tidak benar. 
 
"Kenyataan kita sama seperti semalam. Macam mana akhbar itu boleh laporkan berita itu?" katanya.
 
 

Tiada ulasan: