Selasa, 16 Mei 2017

30 buah sekolah agama di Johor bakal dibina bulan depan

ISMA WEB



ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 30 buah Sekolah Agama Kerajaan Johor akan dibina bermula hujung bulan depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim.

Pembinaan yang termasuk dalam projek fasa kelima sekolah tersebut, katanya, akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Builders Sdn. Bhd.

Beliau berkata, selain membangunkan lapan Sekolah Agama Baru, turut dibina adalah 17 bangunan baharu dan lima tambahan mulai bulan depan.

“Hingga 8 Mei lalu, jumlah sekolah agama di Johor adalah sebanyak 578 buah dengan 479 merupakan bangunan sendiri yang dibina menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

“Baki 99 sekolah masih menumpang di sekolah kebangsaan dan lain-lain bangunan.

“Dengan terlaksananya projek fasa lima ini, maka kerajaan negeri akan mempunyai sebanyak 504 buah bangunan sendiri, manakala baki 82 buah sekolah masih menumpang di sekolah kebangsaan dan lain-lain bangunan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Pada masa sama, Abd Mutalip memberitahu, bagi menjamin keselesaan dan ruang pembelajaran yang kondusif, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta, manakala Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyediakan dana RM2 juta untuk menambah baik prasarana sekolah agama setiap tahun.

“Bagi memajukan pendidikan agama, kerajaan negeri menerusi MAINJ menyediakan bantuan seperti alat bantuan mengajar kira-kira RM1 juta setahun untuk memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar,” katanya.


Tiada ulasan: