Selasa, 10 Mac 2015

Tuan Ibrahim: Saya terkejut tapi terharu

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau "terkejut tetapi terharu" selepas dicalonkan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi jawatan presiden dalam pemilihan parti.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim enggan mengulas lanjut sama ada beliau akan menerima pencalonan itu atau sebaliknya, lapor The Star Online hari ini.

"Saya terkejut, tetapi terharu. Bagaimanapun saya tidak akan bercakap lebih buat masa ini.

"Saya akan bercakap mengenainya selepas saya memikirkan tentang berita (pencalonan) ini," katanya seperti dilapor portal berita itu.

Malam tadi, Jawatankuasa PAS Kota Bharu menjadi kawasan pertama PAS yang mencalonkan pencabar Abdul Hadi bagi jawatan presiden.

Menurut Yang Dipertuanya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, pemilihan Tuan Ibrahim itu kerana Abdul Hadi mengalami masalah kesihatan, malah, naib presiden PAS itu akan membuatkan MP Marang itu selesa kerana merupakan anak didik dan dekat dengannya.

Menurut perlembagaan, seseorang anggota PAS memerlukan dua pencalonan dari peringkat kawasan untuk melayakkan mereka bertanding bagi sebarang jawatan. Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan.

Kawasan PAS di seluruh negara kini sedang mengadakan mesyuarat agung sehingga akhir bulan depan. Tarikh tutup untuk pencalonan peringkat pusat adalah pada 30 April ini.

Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun depan. 

 

1 ulasan:

aku berkata...

Eloklah tu TGHH seorang ulamak peringkat antarabangsa tak sesuai memimpin PAS yang berperanan peringkat nasional dan berdampigan dengan Dr Yusof Qardawi.Lebih afdal sekiranya tumpuan diberikan di sana . Taraf TGHH tak perlu dicemarkan dengan perkara2 remeh seperti pil kuda, barua dsbnya.