Rabu, 25 Mac 2015

Tidak wajar serang jabatan kerajaan kerana GST

SINAR HARIAN


Khalid Abu Bakar Khalid Abu Bakar
 
 
 
KUALA LUMPUR - Seramai 25 individu ditahan reman selama dua hari bermula semalam berhubung demonstrasi membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kompleks Kastam di Kelana Jaya, semalam.
  
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, kumpulan itu tidak sepatutnya menyerang jabatan kerajaan bagi mendapatkan maklumat tentang GST.
   
"Tindakan tersebut adalah tidak rasional untuk mendapatkan penjelasan dengan "menawan" pejabat kerajaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Komander dan Komandan di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini hari ini.
  
Khalid bagaimanapun, tidak menyatakan jumlah sebenar yang ditahan kerana terlibat dalam demonstrasi itu.
  
Difahamkan, antara yang ditahan adalah Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan.
  
Dalam perkembangan lain, Khalid berkata seramai 90,000 orang di seluruh negara telah menjadi ahli Community Policing atau Kepolisan Komuniti.
  
"Bersempena memperingati hari polis yang ke-208 esok Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan 'Community Policing', iaitu 'Pasukan voluntary' yang diwujudkan oleh masyarakat sendiri.
  
"Ini dianggap sebagai salah satu strategi polis dalam mendekatkan orang ramai dalam membantu mengawal jenayah," tambah Khalid.
   
Mengulas mengenai majlis persidangan PJP, KP, Komander dan komandan, Khalid berkata sebanyak tiga perkara utama telah dibincangkan iaitu masalah berkaitan ketenteraman awam, jenayah dan persepsi masyarakat, dan integriti pegawai dan anggota PDRM. - Bernama

Tiada ulasan: