Rabu, 4 Mac 2015

Tidak mustahil Abdul Hadi dicabar


MOHAMED TAULAN MOHAMED TAULAN
 
 
ALOR SETAR - Kemungkinan jawatan Presiden Pas bakal dicabar pada pemilihan parti akan datang bergantung kepada pencalonan yang dibuat Pas kawasan, setelah menerima input daripada akar umbi.
 
Yang Dipertua Pas kawasan Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, perkara itu di luar kawalan, kerana calon-calon bagi jawatan dipertandingkan itu perlu mendapat persetujuan ahli.
 
“Pas kawasan Pendang juga belum buat keputusan siapa akan dicalonkan sebagai presiden dan timbalan presiden, termasuk semua jawatan dipertandingkan. Kita akan putuskan siapa calon layak dalam Mesyuarat Agung Pas kawasan, 18 April depan,” katanya.
 
Mengulas sama ada kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali kelmarin, bahawa beliau yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengekalkan jawatan tanpa ada pertandingan, sebagai arahan tidak rasmi kepada Pas kawasan agar mencalonkan Abdul Hadi, Mohamed Taulan menyifatkan ia sekadar pandangan peribadi Mustafa.
 
“Kenyataan itu bersifat peribadi, bukan arahan. Kenyataan itu juga tidak akan mempengaruhi Pas kawasan untuk memilih calon paling layak sebagai presiden termasuk timbalannya. Terpulang kepada ahli di kawasan untuk tentukan,” katanya.

Tiada ulasan: