Taska Gambar Hiasan
 
 
ALOR SETAR - Sebuah tadika yang beroperasi sejak dua tahun lalu di pusat bandar di sini, dikesan mengajar muridnya menghina Nabi.

Perkara itu disahkan Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi yang menjelaskan murid terbabit tidak tahu apa-apa kerana mengikut apa sahaja yang diajarkan oleh guru.

Menurutnya, perkara itu mendapat perhatian waris murid yang merasakan sesuatu tidak kena mengenai pembelajaran di tadika terbabit.

“Kaedah yang digunakan guru tadika itu memang bijak. Mereka pandai ajar murid-murid lagu nasyid, puji Nabi, ALLAH dan sebagainya.

“Malah mereka (murid) juga mempraktikkan semula apa yang dipelajari di rumah. Tetapi di sebalik pujian itu ada cercaan terhadap Nabi,” katanya.

Abd Aziz berkata, tindakan guru terbabit dipercayai ada kaitan dengan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan kanak-kanak.

“Pada saya ini adalah suatu tindakan yang terancang. Mereka menyasarkan golongan kanak-kanak untuk tujuan jangka masa panjang.

“Saya nasihatkan waris supaya segera keluarkan anak mereka dari situ. Banyak lagi tadika lain yang boleh dipercayai,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) turut menggesa tindakan tegas diambil terhadap pengurusan tadika berkenaan.

“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan segera menutup tadika berkenaan. Malah setiap tenaga pengajar juga perlu disoal siasat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian selama beberapa hari di tadika berkenaan mendapati ramai yang berkunjung ke situ.

Kelihatan juga beberapa kereta mewah berada di persekitaran tadika berkenaan dipercayai milik pengurusan tadika.

Beberapa waris murid ketika ditemui memaklumkan ada yang curiga dengan ilmu yang disampaikan guru berkenaan.

“Kami tidak tahu apa yang dia (guru) ajar kepada mereka, tetapi anak-anak apabila balik rumah mereka menyanyi lagu nasyid.

“Ada juga kadang-kadang kami terdengar seolah-olah ada penghinaan kepada Nabi di tadika tetapi kami tidak pasti kesahihannya,” katanya.

Difahamkan, tadika itu beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 1 petang melibatkan kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun.

Selain pendedahan mengenai agama Islam, tadika terbabit turut mengajar muridnya bahasa Melayu dan Inggeris.

Ia turut menawarkan pelbagai pakej pengajian serendah RM100 hingga RM800 sebulan.