Jumaat, 6 Mac 2015

Sirul patut ceritakan sahaja semuanya


Oleh V Shuman


Hidup pastinya indah buat seorang Sirul Azhar Umar – lelaki yang melarikan diri selepas membunuh seorang perempuan dengan kejam, namun masih boleh menikmati kehidupan.Hidup di negara luar untuk melepaskan diri daripada hukuman mati di tanah air. Mendapat akses internet dan telefon ketika dalam tahanan.

Malah, dapat menikmati makanan kegemaran hasil tangan ibu.

Kepada mereka yang terkejut selepas membaca peranggan di atas, begitulah bagaimana seorang pembunuh yang didapati bersalah menjalankan kehidupannya di Australia. Beliau kini berada di pusat tahanan Villawood di Sidney, selepas meninggalkan Malaysia Oktober lalu.

The Rakyat Post melaporkan, ibu Sirul, Piah Samad yang berusia 74 tahun akan menghantar makanan kegemarannya, sambal ikan bilis jika mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa Australia.

Laporan yang dipetik daripada Harakahdaily itu juga berkata, Piah juga membawa makanan kegemarannya yang lain iaitu rendang limpa, namun tidak mendapat pelepasan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Sidney.

Ibunya dilaporkan dalam keadaan bersemangat, berkata: “Tak apalah, nanti kita masak yang lain.”

Piah juga memasak kari kepala ikan untuk rombongan yang mengiringinya – tujuh orang termasuk anaknya Nuriatin Umar, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar dan seorang peguam.

“Sirul ni budak baik, kerja dia jaga menteri. Semua tempat dia pergi. Dia tak de cerita apa pun kat makcik sehinggalah dia ditangkap,” katanya menurut Harakahdaily.

Kini, tiada lagi sebab untuk Sirul kembali ke Malaysia (bukanlah beliau berniat untuk pulang pada asalnya).

Sehingga kini, masih belum jelas bagaimana seorang bekas komando polis mampu hidup di luar negara sejak Oktober 2014. Tidak diketahui siapa yang mendanai “pelarian” dan hidupnya di sana.

Kini selepas tempat tinggalnya sudah terjamin, beliau masih dapat menikmati keselesaan seperti di rumah sendiri, semuanya atas jasa PAS.

Ya, parti yang sama yang menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat, yang dahulunya menghentam Sirul dan pasangannya Azilah Hadri sebagai pembunuh kejam, berikutan kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu dan tahun-tahun selepasnya.

Kini, mereka bersungguh-sungguh berbuat baik kepadanya dan keluarga, dengan harapan beliau akan mendedahkan sesuatu yang menggemparkan, seterusnya meruntuhkan pentadbiran sekarang dan membolehkan PR mengambil alih Putrajaya.

Persoalannya, adakah Sirul akan mendedahkan apa-apa yang mampu meredakan spekulasi bertahun-tahun lamanya? Atau beliau hanya mengambil kesempatan terhadap PAS dan media antarabangsa?

Bukankah beliau adalah orang yang didapati bersalah melakukan antara pembunuhan paling dahsyat yang pernah berlaku di Malaysia, dan malah dunia?

Jika Sirul benar-benar serius menebus “dosanya”, beliau patut berhenti mengarut tentang tele-persidangan yang tidak pernah terjadi, dan dedahkan sahaja semua perkara. Tanpa mengira apa yang akan berlaku selepas itu.

Jika beliau cukup “jantan” untuk menembak seorang perempuan yang mengandung dan mengebom mayatnya sehingga hancur berkecai, beliau juga sepatutnya berani untuk mengaku dan menceritakan segalanya kepada media.


Tiada ulasan: