Ahad, 22 Mac 2015

'Seks luar tabii bukan liwat tapi ta'zir'

MALAYSIAKINI



Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan, kesalahan melibatkan pelakuan seks luar tabii tidak termasuk dalam hukuman hudud.

Sebaliknya, beliau berkata,  hukuman bagi kesalahan melibatkan pelakuan seks lesbian, seks dengan mayat dan haiwan dimasukkan di dalam kesalahan ta'zir - bukan seperti yang diaporkan sebelum ini bahawa ia dimasukkan dalam kesalahan liwat.

Sebelum ini, ADUN Panchor itu memberitahu media bahawa hukuman untuk kesalahan melibatkan pelakuan seks luar tabii tidak digugurkan dalam Kanun Jenayah Syariah II yang diluluskan Khamis lalu tetapi dimasukkan dalam kategori sama dengan kesalahan liwat.

"Itu silap saya (laporan sebelum ini). Sebenarnya liwat hanya dalam kes liwat. Lesbian, bersetubuh dengan binatang, mayat akan masuk dalam kategori ta'zir iaitu kita akan pinda  Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kelantan) 1985. Bukan (dimasukkan) dalam kategori liwat dan hudud.

"Saya silap memberi keterangan. Selepas saya memeriksa semula, ia sebenarnya di bawah ta'zir yang kita akan pinda dan masukkan dalam enakmen 1985 itu yang mana akan dibuat dalam sidang DUN akan datang," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Menurut Mohd Amar lagi, pada sidang DUN akan datang, kerajaan negeri akan membentangkan enakmen 1985 iaitu khusus kepada kesalahan ta'zir.

"Ia (seks luar tabii) sebenarnya tidak dimasukkan dalam hudud tetapi ta'zir. Boleh jadi hukuman ta'zir lebih berat daripada hudud. Ia atas mahkamah," jelasnya.

Ta'zir merupakan kesalahan-kesalahan selain daripada kesalahan hudud atau qisas.

Hukuman bagi kesalahan ta'zir akan ditetapkan oleh Badan Perundangan Negeri di bawah Kanun Jenayah Syariah II atau selainnya dan hukuman dijatuhkan mengikut budi bicara mahkamah


Tiada ulasan: