Khamis, 12 Mac 2015

Rombak SOP dan Segera Bina Tebatan Banjir di Kelantan

1547941_1091837694166501_7037685978055000433_o

 Oleh RARA OTHMAN


Sebagai seorang kordinator Impian Kelantan yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti sukarelawan bagi membantu membaikpulih rumah dan fasiliti di kawasan terjejas banjir di Kelantan, saya ingin memberikan sedikit respon balas kepada cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman.

Ahli Parlimen tersebut mencadangkan agar diwujudkan satu agensi baru untuk menggantikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi tujuan mengawal selia bantuan Mencari dan Menyelamat (SAR) setiap kali bencana melanda sewaktu mencelah dalam perbahasan menjunjung Titah diRaja Ahli Parlimen Tenom bertarikh 10 Mac 2015.

Saya merasakan tiada keperluan mendesak untuk negara mewujudkan sebuah agensi khas hanya untuk mengkordinasikan kerja-kerja SAR sewaktu bencana melanda.

Setiap kali bencana melanda, bukan MKN sahaja agensi yang terlibat dalam operasi SAR tetapi ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi seperti Tentera, Polis, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Hospital dan pelbagai lagi agensi Kerajaan. Kesemua agensi ini telah mempunyai kepakaran dan terlatih dalam melakukan operasi SAR.

Apa yang perlu diperhalusi dan dirombak adalah Tatacara Operasi Standard (SOP) Pengurusan Bencana dan juga Jawatankuasa Bencana Alam di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.
Kerajaan juga perlu melihat dan memperjelaskan bidangkuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri apabila bencana berlaku bagi mengelakkan pertindihan kuasa yang akan merencatkan operasi SAR.

Kewujudan agensi baru tidak akan membantu menyelesaikan kelemahan-kelemahan sedia ada. Sebagai contoh, keselamatan jalanraya. Kita mempunyai banyak agensi seperti Jabatan Pengangkutan Awam, Polis Trafik, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) akan tetapi masih gagal dalam mendidik masyarakat ke arah pemanduan berhemah dan mengurangkan kadar kemalangan.

Mewujudkan agensi baru hanya menguntungkan beberapa pesara politik Pemerintah yang akan dilantik sebagai Pengerusi yang menerima elaun. Adakah Ahli Parlimen Pengerang sebenarnya berminat untuk menjadi Pengerusi Agensi Bencana Alam ini?

Putrajaya juga perlu segera meluluskan permintaan negeri Kelantan untuk projek tebatan banjir. Saya telah meneliti ucapan Ahli Parlimen Rantau Panjang yang telah pun banyak kali bersuara mengenai tebatan banjir. Akan tetapi, Putrajaya terus menerus memekakkan telinga dan membutakan mata. Membiarkan sahaja rakyat Kelantan berhadapan kemungkinan banjir saban tahun.

Adakah Putrajaya merupakan sebuah Kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat ataupun sebuah Kerajaan yang penuh hasad dan dendam terhadap rakyat yang telah memilih Kerajaan Negeri selain UMNO/Barisan Nasional?

Ahli Parlimen Lenggong pula mengatakan antara kelemahan dalam operasi SAR adalah pegawai MKN hanya bergred N17 lalu menimbulkan persoalan bagaimana pegawai bergred ini boleh memberikan arahan kepada Pegawai Daerah. Saya berpandangan apabila bencana berlaku dan Jawatankuasa Bencana telah diaktifkan, semua pihak tidak kira apa pangkat perlu mengikut SOP Bencana Alam.

Jika SOP itu mensyarakatkan Pengerusi Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah untuk mendengar dan mengikut nasihat pegawai MKN, maka ia perlu diikuti. Tidak timbul soal gred penggajian atau kasta jawatan apabila berlaku bencana. Mengapa masih memikirkan soal ini di kala rakyat sedang menyabung nyawa?

*Young Syefura Othman adalah Kordinator Impian Kelantan – Roketkini.com


Tiada ulasan: