Selasa, 24 Mac 2015

Potong gaji RM18,000 tanda solidariti- DAP

 
Tanda solidariti itu diberikan kepada 13 OKZ yang dijatuhkan hukuman penjara kerana menyertai himpunan membantah rampasan kuasa BN pada 2009


Nga Kor Ming



KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP Perak telah bersetuju untuk pemotongan gaji sebulan sebagai tanda solidariti kepada 13 Orang Kena Zalim (OKZ) yang dijatuhkan hukuman penjara kerana menyertai perhimpunan membantah rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) pada 2009.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, enam ahli Parlimen dan 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah sebulat suara memutuskan untuk menyerahkan gaji mereka, RM18,000 sebagai sumbangan kepada keluarga yang dijatuhkan hukuman tersebut.

Kesemua 13 orang itu dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000.

“DAP berasa hukuman penjara yang dijatuhkan kepada 13 OKZ itu bersifat zalim dan ‘double standard’.

“Ini kerana jika dilihat mahkamah hanya menjatuhkan hukuman ringan iaitu denda RM1,000 hingga RM1,500 kepada 15 orang Ahli Pemuda UMNO yang telah disabitkan kesalahan menceroboh bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan telah menggunakan kekerasan.

“Sebaliknya OKZ itu hanya menjalankan himpunan aman kerana tidak berpuas hati dengan rampasan kuasa oleh BN di Perak ketika itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Katanya atas prinsip keadilan, DAP akan menghulurkan bantuan kepada keluarga OKZ dengan memberi khidmat guaman serta membantu keluarga yang mempunyai anak-anak kurang upaya dan juga yang menghidapi penyakit barah.

Tiada ulasan: