Selasa, 24 Mac 2015

Mahfuz mahu Nazri tarik balik kenyataan ‘orang bodoh bincang hudud’

 OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan mereka yang membincangkan hudud sebagai 'bodoh' adalah tidak demokratik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Mac, 2015.Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan mereka yang membincangkan hudud sebagai 'bodoh' adalah tidak demokratik. – Gambar fail The Malaysian Insider. 



Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menarik balik kenyataannya semalam menyifatkan mereka yang membincangkan hudud di Malaysia sebagai "bodoh".

Mahfuz berkata, kenyataan menteri pelancongan itu juga tidak demokratik.

"Tanggapan percakapan sesuatu yang bodoh harus ditarik balik, takut lepas ini mimpi pun kata salah," kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.


Nazri dilaporkan berkata, mereka yang membincangkan hudud di Malaysia adalah bodoh kerana undang-undang Islam itu tidak akan dapat dilaksanakan di negara memandangkan kekangan Perlembagaan Persekutuan. Hudud juga, kata Nazri, hanya akan berjaya dilaksanakan dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan dua pertiga majoriti Parlimen.

"Takkan orang nak bincang pun tidak boleh, tahap perbincangan soal perundangan Islam ini sesuatu yang tidak dibenarkan ini satu benda yang sangat pelik.

"Seperti mencadang perundangan Islam di universiti dimansuhkan, ini sama seperti pihak universiti yang menghalang pelajar dan ahli akademik bergiat dalam politik.

"Kalau dianggap bodoh buat perundangan Islam, pensyarah dianggap bodoh pelajar pun dianggap bodoh," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata menghalang perbincangan berkenaan hudud umpama menghina mufti yang menjadi rujukan dalam hal ehwal Islam.

"Menyebut tidak boleh berbincang hudud seperti menghina para mufti dalam hal ehwal yang menjadi rujukan dalam perundangan Isam termasukkan Majlis Fatwa dan sebagainya," katanya.

Nazri sebelum ini berkata, Perlembagaan sudah jelas meletakkan bidang kuasa hukuman jenayah di bawah Mahkamah Persekutuan dan bukannya kuasa mahkamah syariah.

"Pernah kita nampak mahkamah syariah bicarakan kes pembunuhan, bicara kes kecurian?" katanya.
"Kalau mahu gugurkan bahagian yang mengatakan jenayah itu di bawah mahkamah persekutuan, kita perlu dua pertiga majoriti Parlimen, tetapi kita tiada sekarang," katanya.

"Ini soal agama, kita tidak boleh guna 'whip', ahli Parlimen akan mengundi menggunakan pegangan dan suara hati mereka."

Tambahnya lagi, rang undang-undang persendirian yang cuba dibawa PAS ke Parlimen juga tidak akan berjaya dibincangkan memandangkan ia hanya akan dibawa apabila selesai aturan urusan kerajaan.

"Benda (hudud) itu hanya berlaku kalau kita boleh pinda Perlembagaan.

"Usul persendirian hanya dibincangkan setelah selesai urusan kerajaan, selagi tidak habis kita tidak boleh bincang," katanya.

Tiada ulasan: