SPRM SPRM



KUALA LUMPUR - Pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock, pembantu khas pemimpin DAP Selangor enam tahun lalu, tidak wajar dinafikan hak untuk kenaikan pangkat memandangkan tidak ada mana-mana individu terbabit didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah setakat ini.

Oleh itu, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, penempatan Datuk Hishamuddin Hashim sebagai Pengarah SPRM Sabah sejak pertengahan tahun lalu tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Beliau menjawab kenyataan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching di Parlimen Khamis lalu. Malah pada Khamis lalu, keluarga Beng Hock dan pengikut mereka mengadakan protes di hadapan Pejabat SPRM Selangor di Shah Alam mempertikaikan kenaikan pangkat Hishamuddin dan seorang lagi pegawai lagi.

Tegas beliau, dakwaan Nie Ching terhadap Hishamuddin yang dakwanya sebagai individu yang bertanggungjawab dalam kes kematian Beng Hock adalah berdasarkan andaian beliau semata-mata.

Tegas Razali, tiada mana-mana pihak termasuk Mahkamah Rayuan dalam keputusannya pada 5 September 2014 merujuk Hishamuddin sebagai bertanggungjawab ke atas insiden yang menimpa Beng Hock pada tahun 2009.

"Penempatan Hishamuddin Hashim sebagai Pengarah SPRM Sabah adalah berdasarkan kekosongan jawatan sedia ada dan juga prestasi semasa  yang ditunjukkan oleh beliau selain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan tatatertib.

"Sebagai contohnya, pada tahun ini (sehingga 24 Mac 2015),  SPRM Sabah di bawah pimpinan beliau telah membuat 50 tangkapan berbanding sepanjang tahun 2014 hanya 28 tangkapan dibuat," kata beliau ketika menggulung perbahasan ke atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, adalah jelas tiada pun disebut tentang Hishamuddin dalam kes kematian Beng Hock seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Malahan Mahkamah Rayuan memberi penekanan kepada dakwaan nota tulisan tangan bunuh diri untuk disiasat semula secara terperinci. Saya dimaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia seperti kenyataan yang dikeluarkan pada 16 Mac 2015 menyatakan siasatan masih dijalankan, malah ia dimulakan sebaik keputusan Mahkamah Rayuan diputuskan September tahun lepas," kata Razali.

Sebagai tambahan, kata beliau, penemuan penyiasatan sebelum dari ini melalui pihak  PDRM, Jawatankuasa Aduan SPRM (badan bebas memantau SPRM, Inkues dan Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI) juga tidak mendapati apa-apa kesalahan jenayah dan salah laku melibatkan Hishamuddin.

Oleh itu tambah beliau, merujuk kepada pertikaian Ahli Parlimen Kulai terhadap kenaikan pangkat Hishamuddin, adalah dimaklumkan bahawa ia tidak bersalahan dengan mana-mana peraturan kerana ia adalah mengikut peraturan dan tatacara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2010, yang mana apabila terdapat kekosongan jawatan, semua pegawai yang layak dan tidak disabitkan dengan sebarang tuduhan dan kesalahan jenayah  akan dipertimbangkan mengikut merit dan prestasi.

"Sehubungan itu, Hishamuddin Hashim adalah layak untuk dipertimbangkan mengikut tatacara yang ditetapkan memandangkan beliau tidak pernah  dituduh atas mana-mana kesalahan," katanya.

Mengenai dakwaan Ahli Parlimen  Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar bahawa Perdana Menteri adalah 'Ketua' SPRM adalah  tidak benar sama sekali.

Ini kerana Seksyen 3 Akta SPRM telah menafsirkan bahawa Ketua Pesuruhjaya adalah 'ketua' SPRM, yang dilantik di bawah Seksyen 5 manakala Seksyen 5(5)  Akta SPRM 2009 memperuntukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM adalah bertanggungjawab terhadap segala perjalanan, arahan dan kawalan terhadap suruhanjaya tersebut.

"Justeru SPRM  adalah  bebas melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab tanpa perlu merujuk kepada mana-mana pihak sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah  Akta SPRM 2009 dan sekali gus menolak dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai ini.

"Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan siasatan kes-kes jenayah rasuah, kebebasan SPRM untuk menyiasat mengikut perundangan sedia ada, without fear or favor akan terus dijamin tanpa mengira kedudukan atau status mereka yang terlibat," katanya.