Ahad, 22 Mac 2015

Hudud: Latheefa disaran dalami ilmu syariah

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Peguam PKR yang didakwa sering mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat disaran mendalami ilmu syariah terlebih dahulu sebelum menghentam rang undang-undang hudud yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini.
 
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Latheefa Koya yang mendakwa undang-undang hudud diperjuangkan PAS tidak selari dengan ajaran Al-Quran.
 
"Saya nasihatkan dia mendalami ilmu syariah dan kurangkan bercakap perkara yang dia tidak faham," katanya ringkas menerusi kiriman aplikasi Whatsapp kepada Antarapos.
 
Semalam, Latheefa menyenaraikan empat perbezaan diantara hudud berasaskan Quran dan enakmen hudud 1993 yang diperkenalkan oleh PAS.
 
Sebagai contoh, dalam Al- Quran tidak disebut apa-apa hukuman untuk kesalahan murtad, dakwa Latheefa.
 
"Undang-undang hudud PAS pasti tidak terdapat dalam Quran.
 
"Oleh itu, (hudud ciptaan PAS) wajar ditolak sama sekali. Ia merupakan ciptaan mereka sendiri. PAS mewujudkan kekeliruan dan kejahatan dengan menggunakan nama tuhan," ujarnya.
 
PAS  akan membentangkan usul persendirian di Parlimen bagi meminda peruntukan mengenai kuasa-kuasa Mahkamah Syariah bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan. 
 
Parti itu perlu memperolehi sokongan majoriti mudah 112 undi di Parlimen dan memerlukan sokongan Ahli Parlimen PKR beragama Islam untuk mencapai matlamat itu. 
 
Presiden parti dijangka membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat  pada sidang yang sedang berlangsung sekarang.


Tiada ulasan: